Siakap Keli
Kredit Foto: easyhometutor

Ibubapa Diingatkan Jangan Bandingkan Anak Kalau Tak Mahu Benda Ini Terjadi

Setiap ibu bapa tidak seharusnya membandingkan anak-anaknya. Mungkin setiap anak diberi keistimewaannya tersendiri. Tidak berjaya dalam pelajaran bukan bermakna anak itu tidak berguna. Anak yang gagal ini mungkin orang yang akan banyak menabur bakti untuk ibu bapanya diusia tua nanti. Jadi elaklah diri daripada membeza-bezakan setiap anak-anak kita.

Begitu juga dengan diri kita sendiri. Suka tak kalau diri kita dibandingkan dengan orang lain? Mesti tak suka dan begitu jugalah keadaannya dengan anak-anak kita. Tetapi kenapa mesti wujud sikap suka membandingkan anak?

Membandingkan anak

Rasanya sikap suka membandingkan anak ini merupakan perkara biasa berlaku dalam kalangan ibu bapa. Ia sama ada membandingkan anak dengan anak individu lain atau membandingkan anak dengan anak-anak yang lain. Malangnya, ada sesetengah ibu bapa tidak sedar mereka melakukan perkara ini.

Tetapi ia sebenarnya satu sikap yang tidak harus wujud dan tidak patut berlaku. Ini kerana setiap anak mempunyai tahap perkembangan yang berbeza sama ada antara adik-beradiknya atau dengan kanak-kanak yang lain. Bahkan anak kembar juga mempunyai tahap tumbesaran dan perkembangan yang berlainan.

Beberapa isu yang boleh timbul akibat sikap membandingkan anak yang dilakukan oleh ibu bapa, sama ada secara sedar ataupun tidak, adalah seperti:

  • Menyebabkan anak-anak menjadi rendah diri atau tiada keyakinan diri
  • Mewujudkan rasa kecil hati yang akhirnya mungkin menyebabkan ketidakpuasan hati
  • Tiada keinginan untuk bersaing secara sihat kerana sering dipandang rendah

Kesilapan yang sering dilakukan

Sebagai ibu bapa, anda mungkin merasakan apa yang anda lakukan atau cakap adalah tanpa sebarang niat untuk membandingkan anak dengan sesiapa. Namun, keadaannya berbeza bagi anak yang berdepan dengan situasi tersebut.

Berikut adalah beberapa situasi yang menunjukkan bagaimana sikap membandingkan anak itu berlaku. Antaranya:

  1. Membanding-bandingkan 

Sering kali perbandingan yang dilakukan melibatkan kebolehan atau kelemahan anak dengan individu lain. Ia mungkin berlaku antara anak dengan adik beradik yang lain, anak jiran, saudara, sepupu waima sesiapa sekali pun.

Niat dan tujuan anda mungkin untuk memberi dorongan, namun penerimaan anak adalah berbeza. Ia mungkin boleh mewujudkan rasa cemburu dan iri hati dalam diri anak-anak. Sebaiknya jika anda ingin membuat perbandingan lakukan secara positif dan pastikan masanya bersesuaian.

  1. Merendah-rendahkan anak
Kredit Foto: businessinsider

Pernah tak anda melafazkan ayat seperti “Bertuahlah Kak Nor, semua anak-anak berjaya. Anak-anak saya ni…entahlah. Tak tahu nak cakap apa”, sudah tentu ia berunsur negatif walaupun niat anda mungkin sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati.

Sesungguhnya ia menghiris hati dan perasaan anak dan akan menyuburkan rasa negatif dalam diri anak. Adakah itu yang anda mahukan? Setiap perkataan yang keluar dari mulut ibu bapa itu adalah doa. Maka tuturkanlah percakapan yang terbaik untuk setiap anak-anak anda.

  1. Mengkritik

Memberi kritikan yang membina adalah sangat digalakkan. Tetapi jika kritikan yang diberikan itu lebih berunsur negatif dengan emosi yang marah, ia secara tidak langsung membuatkan keyakinan diri anak luntur.

Berikan kritikan dengan cara yang betul dan tunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak. Bukan sekadar mencari kesalahan dan terus menghentam anak. Boleh ibu bapa sekalian?

Memahami tahap perkembangan anak

Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, tahap perkembangan setiap anak atau developmental milestone adalah berbeza yang merangkumi bidang perkembangan seperti fizikal, sosio emosi dan kognitif.

Sedari lahir sehinggalah dewasa, kita semua akan melalui pelbagai peringkat perkembangan diri yang tidak akan sama dengan individu lain. Ia didasari faktor individual differences yang menyebabkan setiap perkembangan individu adalah unik.

Kesimpulan 

Jadi sebagai ibu bapa, terima dan raikanlah perbezaan setiap anak itu dengan rasa bangga. Jika ia adalah sesuatu yang negatif, maka usahakan untuk mengubahnya kepada positif dan bukan sekadar menghentam dan membandingkan anak semata-mata.

Sumber: Hello Doktor

Siti Natrah Jusof

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.