Siakap Keli
Gambar : Bernama

Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Sedikit Menurun Tengah Hari Ini

Kota Bharu : Jumlah mangsa banjir di Kelantan sedikit menurun kepada 261 mangsa pada 1.00 tengah hari ini berbanding 315 orang yang direkodkan pukul 8.00 pagi ini.

Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan jumlah itu membabitkan 70 keluarga di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga jajahan iaitu Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.

Di Kuala Krai, tiga pusat pemindahan telah ditutup iaitu Pusat Asuhan Kuala Pertang, Balai Raya Kampung Mia dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embek menjadikan jumlah mangsa ketika ini seramai 69 orang di dua PPS iaitu 63 orang di SK Chenulang dan enam orang di Pejabat Veterinar berbanding 175 mangsa pagi ini.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Tanah Merah meningkat kepada 155 orang berbanding 103 orang pagi ini yang ditempatkan di enam PPS iaitu SK Kelewek (39 orang), Sk Bukit Panau (dua orang), SK Alor Pasir (23 orang), Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang (33 orag), SK Kulim (11 orang) dan Masjid Mukim Kuala Kepok (47 orang).

Jajahan Machang kekal dengan 37 mangsa ditempatkan di PPS SK Pak Roman.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas telah melepasi paras bahaya iaitu 9.01 meter (bahaya 9.0 meter).

Sungai Lebir di Tualang, Kual Krai melepasi paras amaran dengan bacaan 31.7 meter (amaran 31 meter) manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai, Kusial dan Jenob masing-masing 21.37 meter, 13.48 meter dan 21.62 meter melepasi paras berjaga-jaga.

Hujan masih berterusan di Kelantan namun belum ada jalan yang ditutup dan tiada sebarang kemalangan nyawa direkodkan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.