Siakap Keli
Kredit: Google

Kenapa Rasa Dahaga Kalau Tertelan Air Laut? Ini Rupanya Alasan Yang Tak Disangka-Sangka

Bagi anda yang gemar melakukan aktiviti air di pantai, pasti pernah tertelan air laut, kan? Perasan tak, bila tertelan air laut, kita akan rasa dahaga selepas itu. Kenapa ya?

Sebenarnya, air laut mempunyai kepekatan garam yang tinggi serta boleh menyebabkan penyahidratan. Sebab itulah, kita dahaga.

Jom kita baca perkongsian Hello Doktor yang ditulis oleh saudara Mohammad Nazri Zulkafli mengenai air laut ini.

Paradoks minum air laut

Buah pinggang merupakan organ perkumuhan penting bagi manusia. Ia dapat mengawal keseimbangan nutrisi mikro di dalam badan bagi mengekalkan tahap kesihatan individu pada paras optimum.

Bahan toksin, urea, bahan perkumuhan yang mengandungi nitrogen dan garam lebihan; ini merupakan contoh bahan-bahan yang dikumuhkan oleh organ buah pinggang melalui air kencing. Walaupun struktur dan fungsinya kelihatan canggih, namun tidak dinafikan bahawa ia mempunyai kelemahan tersendiri.

Buah pinggang hanya boleh menghasilkan air kencing jika kepekatan garam di dalam badan tidak melebihi 2% tetapi air laut mengandungi kira-kira 3% garam. Jika anda minum air laut, kepekatan garamnya yang tinggi akan menyebabkan proses osmosis bagi membuang lebihan garam tersebut terganggu.

Gambar hiasan. (Kredit: Mediterranea Seawater)

Ini akan menyebabkan air keluar dari sel dalam usaha untuk mempertingkatkan jumlah air bagi membuang lebihan garam tersebut. Sel akan mengecut dan situasi ini bukanlah sesuatu yang baik.

Disebabkan itu, tindakan minum air laut membentuk satu paradoks, anda menjadi semakin haus.

Namun perlu diingatkan di sini, kehausan yang dirasai bukanlah seperti apa yang dirasai ketika anda berasa haus kerana kurang minum air. Anda akan mengalami pelbagai jenis simptom mengikut kadar pengambilan air laut.

Simptom seperti lemah badan, rasa loya, berdebar-debar, darah tinggi dan delirium adalah gabungan antara tindakan fisiologi badan yang cuba untuk mengekalkan fungsi sel pada tahap optimum. Namun jika individu tersebut masih tidak minum air, komplikasi lain yang akan timbul boleh membawa maut.

Bahan kumuh hidupan akuatik dan pencemaran

Jadi kira bolehlah kalau nak cuba minum air laut? Tunggu dulu. Bumi mempunyai 70% sumber air namun dianggarkan hanya 3% merupakan sumber air tawar yang boleh diminum.

Gambar hiasan. (Kredit: Malvinas English)

Lautan yang luas itu juga dihuni oleh kira-kira 3.5 trilion ikan. Ini bermakna terdapat banyak bahan kumuh ikan-ikan yang berlegar di dalam air laut. Bayangkan, seekor ikan paus mampu menghasilkan kira-kira 900 liter air kencing sehari.

Ditambah pula dengan manusia lain yang suka bermandi-manda di kawasan pantai. Penulis pasti mereka bukan mandi sahaja, adalah benda kumuh lain yang keluar.

Jika diambil pada kuantiti yang sedikit, ia tidak akan memudaratkan kesihatan. Kadangkala mereka yang sering bermandi-manda di Port Dickson atau pantai yang lain tertelan sedikit air laut ketika berenang.

Tekak anda mungkin akan berasa kering kesan daripada kepekatan garam air yang ditelan, namun jika anda minum air secukupnya, masalah tersebut akan selesai dan lebihan garam tersebut akan dikumuhkan di dalam air kencing.

Usah risau berkenaan dengan bahan kumuh hidupan akuatik tersebut. Peluang anda untuk mendapat implikasi daripada perkara tersebut adalah sangat rendah. Namun jika diambil pada kuantiti yang banyak, masalah penyahhidratan merupakan masalah yang perlu diambil perhatian.

Konklusi

Jangan minum air laut! Ia boleh menyebabkan masalah penyahhidratan. Jika ia diambil dalam kuantiti yang banyak, simptom lain seperti hipertensi, masalah kerosakan buah pinggang dan koma boleh berlaku.

Jika anda terminum air laut dan mula menunjukkan simptom seperti yang dinyatakan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor.

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.