Siakap Keli
Kredit: Time

Pemandu Bas Malaysia Ditahan Cuba Seludup Masuk Rokok Ke Singapura

SINGAPURA, 30 Nov (Bernama) — Seorang pemandu bas warga Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup masuk 1,275 karton rokok tanpa cukai serta 3,030 uncang tembakau kunyah di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Rabu lalu.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, dalam laman Facebooknya hari ini, berkata, para pegawai berasa curiga dengan bas yang didaftarkan di Malaysia itu sebelum mengarahkan pemandu itu menjalani pemeriksaan menyeluruh terhadap kenderaan itu.

Menurutnya, pegawai pemeriksa kemudian mendapati sesuatu yang mencurigakan dalam imej pengimbas sebelum pemeriksaan lanjut mendapati barang terlarang itu disorokkan dalam ruang khas yang diubah suai di bahagian bawah bas berkenaan.

ICA berkata pihaknya bertindak menahan pemandu bas berusia 27 tahun itu sebelum diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.