Siakap Keli

(Video) Kenangan Di Hari Banjir Pengalaman Berharga Buat Pengantin

Besut :  Meskipun tanpa memakai persalinan yang cantik seperti kebiasaannya, memori majlis penyatuan sepasang pengantin ketika banjir melanda Terengganu tetap menjadi memori indah buat mereka berdua.

Bagi Aliff Taufiq Alin Azman, 28, dan isteri Maizatul Akmal Moh Razmi, 29, insiden kenderaan dimasuki air, terpaksa berpindah naik ke bot dengan busana pengantin, dan akhirnya bernikah hanya berpakaian biasa dan berkain pelikat pastinya tersimpan indah untuk diceritakan kepada anak mereka kelak.

Katanya, majlis pernikahan mereka sepatutnya berlangsung 10.30 pagi semalam namun dalam perjalanan menuju ke lokasi pernikahan di Masjid Kampung La di sini, kenderaan pacuan empat roda dinaiki rombongan pengantin itu dimasuki air.

”Masa kejadian pukul 11.40 pagi itu memang nampak air banjir tetapi ingatkan pajuan empat roda boleh lepas namun tiba-tiba air masuk ke kereta dan kami tidak boleh berpatah balik.

”Mujurlah ada anggota penyelamat yang ternampak dan menyelamatkan kami menaiki bot penyelamat,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Video pasangan pengantin bersama keluarga yang diselamatkan anggota penyelamat itu tular dalam laman sosial sejak semalam.

Bagaimanapun Aliff Taufiq Alin bersyukur kerana akhirnya dapat juga disatukan dengan pilihan hatinya selepas Asar semalam meskipun sekadar berpakaian biasa dan tiada majlis yang meriah.

Dalam pada itu, Maizatul Akmal berkata beliau berasa sedih kerana baju pernikahan rosak dan majlis persandingan sebelah perempuan yang sepatutnya berlangsung semalam di Kampung Panchor terpaksa dibatalkan kerana semua laluan ke kawasan itu terputus.

”Saya tidak tahu pun video saya itu tular sehinggalah adik beritahu. Malu pula bila tengok video itu tetapi itulah kenangan yang tidak mungkin saya lupa.

”Semasa kejadian semuanya panik dan kami hanya mengucap dan berdoa mohon semuanya selamat,” katanya yang tidak menyangka kawasannya dinaiki air setelah tiga tahun tidak banjir.

Hari ini, kedua-dua pasangan yang bekerja sendiri itu bersanding di majlis pihak lelaki di Machang, Kelantan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.