Siakap Keli

30 Pelancong Terpaksa Bermalam Di Rumah Penduduk Kampung Akibat Banjir

Banjir teruk yang melanda beberapa kawasan di Daerah Hulu Terengganu sejak pagi tadi bukan sahaja menjejaskan penduduk, malah membantutkan segala aktiviti percutian pelancong dari luar.

Di Kampung Pasir Dula, lima keluarga dari utara tanah air terpaksa menghabiskan tempoh sehari percutian mereka di masjid selepas jalan keluar utama ke bandar Kuala Berang terputus setelah dinaiki air kira-kira satu meter.

Seorang pelancong, Shaarani Ismail, 40, berkata beliau bersama isteri serta empat anaknya sudah lama merancang untuk bercuti di Terengganu sempena musim cuti sekolah.

Bagaimanapun ketika sampai di Kampung Pasir Dula kira-kira jam 3 petang tadi, penduduk memaklumkan bahawa jalan keluar sudah tidak boleh dilalui kerana air naik secara mendadak.

“Saya pernah bertugas di Terengganu 10 tahun dahulu sebelum ditukar ke tempat asal Perak. Jadi sambil melancong saya juga nak ambil kesempatan melawat bekas pengasuh anak-anak yang tinggal di Seberang Takir.

Cadangnya nak tinggal dua hari di Terengganu dan inap desa pun sudah ditempah, tetapi nampaknya masa sehari dah terbuang begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Shaarani berkata bagaimanapun beliau berasa lega kerana dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), mereka sekeluarga dibenarkan menumpang di rumah salah seorang penduduk kampung.

“Tadi memang fikir nak tidur di masjid sahaja kalau tak dapat keluar. Tapi mujurlah ada MPKK yang datang tawarkan bantuan selepas tengok kami terkandas di sini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Pasir Dula, Ton Mohd Azmi Ton Busu, 48, berkata kira-kira 30 pelancong dari lima keluarga ditempatkan di rumah penduduk kampung sementara menunggu air surut.

Menurut beliau, tiga keluarga berasal dari Perak manakala dua lagi dari Pulau Pinang.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk petang tadi mengenai pelancong dari luar yang terkandas dan mereka berpusat di masjid. Jadi kita bantulah apa yang patut dan harap-harapnya air surut esok pagi supaya mereka boleh meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi.

Sumber : Bernama

Nurul Alia Ali