Siakap Keli

Pasukan NGO Terkandas, Kenderaan Ditenggelami Air

JERTEH, 2 Dis — Seramai lapan sukarelawan daripada Malaysia International Search and Rescue (MISAR) yang membawa pelbagai barangan untuk mangsa banjir melalui detik cemas malam tadi selepas kenderaan yang mereka naiki ditenggelami air sedalam dua meter.

Kumpulan dari Kuala Lumpur itu yang menaiki empat buah van berdepan situasi cemas itu kira-kira 8 malam.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian tersebut berlaku di sekitar Kampung Bekok, di sini ketika mereka dalam perjalanan keluar ke lokasi lain setelah menghantar bantuan di Kampung Tenang dan Kampung La.

“Kesemua sukarelawan terbabit selamat. Mereka sebenarnya bergerak tanpa membuat pemakluman kepada pihak yang menguruskan bilik gerakan banjir.

“Susulan kejadian ini, saya nasihatkan kepada sesiapa sahaja mahupun badan bukan kerajaan supaya memaklumkan kepada pihak polis ataupun Sekreteriat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu bagi memudahkan urusan bantuan,” katanya dihubungi Bernama di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata pasukan itu diselamatkan dengan bantuan orang kampung dan kenderaan mereka telah dibawa ke kawasan tinggi.

Setakat pagi tadi, banjir di Terengganu melibatkan 5,807 mangsa daripada 1,719 keluarga dan sebanyak 121 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

— BERNAMA

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)