Siakap Keli
Gambar hiasan

Ada Luka Tapi ‘Main’ Banjir, Anda Berisiko Dijangkiti Kencing Tikus

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai untuk tidak bermain air ketika musim banjir yang melanda negara pada ketika ini bagi mencegah penyakit-penyakit berjangkit seperti Leptospirosis (kencing tikus) dan Melioidosis melalui air tercemar.

Penyakit-penyakit berjangkit ini boleh mendatangkan risiko yang tinggi kepada sesiapa sahaja yang mempunyai masalah kulit mahupun luka daripada terkena penyakit ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, orang ramai disarankan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri Gunakan alat pelindung diri seperti boot getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan.

“Bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan Acute Gastroenteritis (AGE), minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang bersih,” nyatanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau juga turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran bagi mengelakkan pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain.

Orang ramai yang mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya digesa supaya mendapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Banjir atau fasiliti kesihatan yang berhampiran.

“Elakkan memakan makanan yang terdedah kepada air banjir, yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam atau ada perubahan rasa, bau atau tesktur,” ujarnya.

Ekoran daripada musim banjir yang sedang melanda negara ketika ini, sebanyak 33 buah fasiliti kesihatan telah dilaporkan terjejas.

Walau bagaimanapun, operasi fasiliti kesihatan yang terjejas ini telah dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang berhampiran dan masih beroperasi seperti biasa dan sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat banjir, boleh layari https://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/e-magazine/item/banjir-2.

Sumber: BERNAMA/KKM

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.