Sebuah lori yang terbabas selepas melanggar tembok Tol Lunas Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dari Kubang Semang menghala ke Lunas, Kulim, Isnin lalu, telah menyebabkan pemandunya maut.
Mangsa, Abdul Rani Abdullah yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menerusi satu posting yang dimuat naik di Facebook Page Masjid Abdullah Fahim SPU, jenazah arwah telah selamat dikembumikan semalam di Tanah Perkuburan Islam Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas.
Anak imam jenazah bapa
Namun, apa yang paling menyentuh hati ramai adalah solat jenazah Allahyarham telah diimamkan oleh anak lelakinya sendiri iaitu adik Mohd Danish bin Abdul Rani yang berusia 14 tahun.
Apa yang paling membanggakan, Mohd Danish yang merupakan anak ketiga juga pelajar di Sekolah Islam Tahfiz Sains Darul Mumtaz, Padang Serai, Kedah itu dikatakan sudah menghafaz Quran sebanyak 13 juzuk.
Bakal jadi Hafiz Quran, tapi ayah tak berkesempatan tengok
Biarpun bapanya tidak berkesempatan melihat Mohd Danish berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan bergelar seorang Al-Hafiz, tetapi diharapkan Mohd Danish terus kuat dan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.
Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Abdul Rani bin Abdullah. Semoga arwah ditempatkan bersama orang yang beriman.
Sumber : Masjid Abdullah Fahim SPU