Siakap Keli

Jabatan Laut Terengganu Siasat Video Tular Feri Ke Pulau Redang

Kuala Terengganu : Jabatan Laut Wilayah Timur sedang menyiasat kesahihan sebuah video yang tular di media sosial semalam, memaparkan situasi cemas penumpang ketika berada di dalam feri dipercayai menuju ke Pulau Redang.

Pengarahnya, Wan Endok Wan Salleh berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan pemberhentian operasi kepada pengusaha feri berkenaan sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Sepatutnya, semua pengusaha perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai amaran cuaca semasa.

“Pengusaha feri atau bot tidak boleh meneruskan operasi sekiranya amaran bahaya telah dikeluarkan demi keselamatan penumpang,” katanya kepada sumber hari ini.

Video berdurasi 13 saat itu menunjukkan keadaan feri berkenaan terhuyung-hayang akibat dibadai ombak besar sehingga menyebabkan penumpang terutamanya wanita dan kanak-kanak menjerit dan menangis.

Difahamkan, kebanyakan penumpang feri itu adalah penduduk Pulau Redang yang keluar ke bandar untuk membeli pelbagai barangan keperluan sebagai persiapan sepanjang musim tengkujuh kali ini.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.