Siakap Keli
Kredit: Bernama

Kereta Jatuh Laut: Bapa Dedah Tahu Berita Hanya Selepas Dimaklumkan Rakan Mangsa

Bukit Mertajam – Bapa Moey Yun Peng yang maut apabila kereta dipandunya terjunam ke dalam laut yang tular pada awal tahun ini mendakwa hanya mengetahui tentang kemalangan itu melalui rakan anaknya.

Moey Kah Tiang, 64, memberitahu rakan anaknya datang ke rumahnya pada jam 3 petang 21 Januari lalu bertanyakan tentang Yun Peng, 20.

“Saya memberitahu Yun Peng tidak pulang ke rumah selepas menghadiri sambutan hari lahir di pulau (Pulau Pinang),” katanya di mahkamah hari ini.

“Mereka kemudian meminta saya bertenang sebelum memberitahu tentang video viral kemalangan di atas Jambatan Pulau Pinang melibatkan kenderaan serupa dengan kereta saya yang dipandu Yun Peng,” katanya di hadapan hakim Ahzah Fariz Ahmad Khairuddin sebagai majistret.

Kredit: Bernama

Kah Tiang menjadi saksi pendakwaan perbicaraan K. Vaitheswaran, 21, yang didakwa memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian Yun Peng di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada jam 3 pagi 20 Januari lalu.

Tertuduh berhadapan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 atas kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pernah pandu kereta bapa

Kah Tiang memberitahu, kali terakhir dia bertemu mangsa adalah pada 19 Januari ketika mangsa meminta kebenarannya menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya untuk menghadiri sambutan hari jadi itu.

Ketika ditanya timbalan pendakwa raya, Yusaini Amer Abdul Karim sama ada mangsa pernah memandu kenderaan tersebut, bapanya menjawab “ya, dia sudah pernah memandu kenderaan itu.”

Sementara itu, saksi lain, staf rondaan PLUS, Anuar Abdul Rahman, 37, memberitahu mahkamah bahawa dia dimaklumkan orang awam mengenai sebuah kenderaan yang jatuh ke dalam sungai setelah kemalangan dengan sebuah Toyota Vios.

Kereta mangsa ketika diangkat naik dari laut. (Kredit: Bernama)

“Apabila tiba di tempat kejadian, saya mengambil gambar kerosakan disebabkan kecelakaan itu.”

“Melalui gambar-gambar berkenaan, kelihatan penghadang di KM 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai mengalami kerosakan,” katanya.

Peguam S. Parameswaran yang mewakili tertuduh bertanya Anuar mengenai jarak antara Toyota Vios dengan penghadang yang rosak itu.

Jawabnya, kereta berkenaan berada di KM3.9 jambatan itu.

Pendakwaan juga dilkukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria.

Perbicaraan akan bersambung pada 21 Januari dan 10 Februari tahun hadapan.

Dalam kejadian tersebut, kereta Mazda CX-5 yang dipandu Yun Peng terjunam ke dalam laut setelah kenderaan itu berlanggaran dengan Toyota Vios yang dipandu tertuduh di atas Jambatan Pulau Pinang.

tertuduh
Tertuduh didakwa memandu secara cuai. (Kredit: Bernama)

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.