Siakap Keli
Foto: Bernama

Mayat Kanak-Kanak Tergelincir Sungai Ditemukan

KUANTAN, 5 Dis – Mayat kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Pulau Kucing di Kampung Pagar Penjom, Kuala Lipis dekat sini, pada Isnin lepas ditemukan hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor berkata mayat Nur Dhiya Aqeela Mohd Khairul Adlie ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 8.05 pagi, kira-kira empat kilometer dari lokasi dia dikatakan tergelincir.

Mangsa difahamkan tergelincir semasa mencuci tangan selepas dia bersama tujuh rakannya dalam lingkungan enam hingga 16 tahun ke kebun milik bapa salah seorang kawan mangsa berhampiran sungai itu, katanya.

“Dua rakan mangsa difahamkan turun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa, namun ketiga-tiga mereka hanyut dibawa arus.”

“Menyedari kejadian itu, rakan mangsa yang berada di tebing menjerit meminta tolong menyebabkan seorang penoreh getah yang berada berhampiran mengambil bot untuk menyelamat mangsa, namun dia hanya sempat menarik dua mangsa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azli berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat.

Operasi SAR yang dimulakan sejak petang Isnin melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan penduduk kampung dihentikan 8.30 pagi tadi susulan penemuan mayat mangsa.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang