Siakap Keli
Foto: Google

Senyuman Dan Bakat Nassier Wahab Dalam Kenangan

Penyanyi Alif Satar pernah berkongsi melalui instagramnya tahun lepas rahsia awet muda bapa saudaranya, penyanyi Datuk Nassier Wahab yang sentiasa mengamalkan bacaan surah Yusuf bagi menaikkan seri wajah beliau.

Ini kerana ramai yang ingin tahu bagaimana wajah penyanyi kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah itu seperti tidak dimamah usia dan sentiasa tampak kacak dan sihat di khalayak ramai.

Apabila lewat tengah malam tadi, ketika tular berita penyanyi lagu “Sekali Aku Jatuh Cinta” berusia 57 tahun itu kembali ke rahmatullah, sudah tentu ia memeranjatkan rakan-rakan rapat, para peminat dan industri hiburan tanah air .

Ternyata tidak ramai yang mengetahui penyanyi yang sentiasa mengukir senyuman manis itu sebenarnya menanggung pelbagai penyakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 12.45  tengah malam tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami muntah darah. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Fatimah Abd Rauf, 56 dan seorang anak, Intan Najihah, 22.

BERJIWA BESAR

Bekas wartawan hiburan Utusan, Saharudin Mohd Musthafa melahirkan rasa ralatnya kerana tidak berkesempatan menziarahi Allahyarham berikutan keadaan arwah yang tidak mengizinkan untuk menerima pelawat.

Berkongsi melalui laman sosial Facebooknya, Saharudin yang kini bertugas di Astro Awani menyatakan kali terakhir bertemu dengan Nassier adalah pada 8 Mei lalu ketika arwah dijemput sebagai pembaca berita Komuniti AWANI.

“Saya akan kenang abang sebagai seniman berjiwa besar, seorang abang yang penyayang, sahabat yang tidak pernah mengecewakan orang lain serta seorang lelaki berperibadi mulia,” titipnya dalam hantaran facebooknya pagi tadi.

Penyanyi terkenal, Nana atau nama penuhnya Siti Nordiana Alias yang memuatkan  gambar beliau  bersama arwah di dalam hantaran instagramnya berkongsi kenangan pada pertemuan terakhirnya bersama Nassier pada 5 Oktober lepas.

Beliau menyifatkan Allahyarham  sebagai abang yang sangat penyanyang, sentiasa memberi nasihat walaupun dalam keadaan tidak sihat.

Sementara itu, pelakon Anne Ngasri berkongsi kenangan video Nassier bersama keluarganya dalam satu majlis dalam hantaran instagramnya.

Menyifatkan Allahyarham seperti keluarga sendiri kerana sama-sama membesar dalam industri hiburan, Anne dalam titipannya menyatakan, “Arwah mempunyai hati yang sangat baik seperti rupanya… semoga arwah dirahmati Allah SWT dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman”.

BERLAKON FILEM DAN DRAMA

Selain aktif menyanyi, Nassier yang dilahirkan pada 18 April 1962 turut  berlakon dalam filem dan drama, antaranya filem Si Jantung bersama A.R. Badul.

Merupakan anak ke-12 daripada 14 adik-beradik, Allahyarham turut memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Kolej Joseph Chamberlain, Birmingham, United Kingdom.

Lagu-lagu nyanyiannya sentiasa malar segar antaranya Memori Cinta Luka, Bayangan Wajah Duka, Sebuah Janji Tak Bererti, Undangan Rindu dan lagu duet dengan penyanyi Ramlah Ram, Susah Senang Kita Bersama.

Allahyarham juga pernah menyertai program pertandingan nyanyian Gegar Vaganza musim kedua pada 2015 dan mendapat tempat keempat.

Allahyarham Nassier dikesan mempunyai ketumbuhan kecil pada bahagian gusi dan pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada bahagian rahang kiri pada 1 Jun lepas. Sebelum itu pada 2018, arwah  pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.

Walaupun  jarang muncul di kaca televisyen sejak kebelakangan ini, namun peminat mengingati Nassier sebagai penyanyi dan penghibur serba boleh.

Pemergian Allahyarham sudah tentunya meninggalkan kenangan manis dalam industri hiburan tanah air, sepertimana manisnya senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya setiap kali bertemu dan menghiburkan peminat-peminatnya.

Profil Allayarham Nassier Wahab

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Nur Farra