Siakap Keli

(Video) Tinggikan Karburetor, Ekzos, Hasil Kebijaksanaan, Motor Mampu Redah Banjir

Siapa sangka disebalik musibah yang melanda, terdapat kebijaksanaan yang ditonjolkan oleh golongan muda di Terengganu. Seperti sedia maklum, beberapa tempat di Terengganu telah dilanda banjir ekoran hujan lebat beberapa hari. Kawasan banjir yang dinaiki air sudah pasti menyukarkan pergerakan penduduk untuk ke sesuatu destinasi.

Namun, kesungguhan dua orang pemuda mengubah suai motosikal yang mampu meredah banjir telah mengundang keterujaan ramai. Ikram Shahidi Mat Kail, 24 dan adiknya, Muhammad Zakaria, 22 telah mengubah suai dua buah motosikal yang bukan sahaja mampu tenggelam dalam air, tetapi boleh berfungsi dengan baik.

Menurut Ikram Shahidi, pengubahsuaian kreatif itu bermula dengan perasaan ingin mencuba dan tidak menyangka ianya membuahkan hasil. Lebih menakjubkan, mereka hanya mengambil masa dua jam untuk melakukan proses pengubahsuaian.

Bagi menyempurnakan misi meredah air, beliau mengubah suai botol plastik bagi menggantikan tangki minyak, karburetor dan saluran udara ke karburetor, hujung paip ekzos yang kesemuanya diletakkan dengan kedudukan lebih tinggi daripada motosikal biasa bagi membolehkan motosikal itu bergerak dalam paras air yang tinggi.

Dah pernah cuba namun tak berjaya

“Sebenarnya, tahun lepas saya dah cuba buat tapi tak berjaya kerana motor enjin mati dalam air. Namun, saya cuba lagi baru-baru ini dan hasil cantuman pelbagai idea kawan-kawan motosikal itu berjaya disiapkan dalam tempoh dua jam.

Kami dua beradik meronda sekitar kampung pada waktu petang kelmarin, namun tak sangka pula rakaman video yang diambil beberapa rakan itu menjadi tular dan ramai nyatakan kekaguman mereka dengan kreativiti kami,”

Menurut laporan Bernama, mereka berdua tidak pernah mendapat pendidikan formal, namun minat dan pengalaman bekerja sebagai mekanik telah membuahkan hasil.

“Jika ada rezeki, teringin juga nak belajar secara formal sebab kami bercadang nak buat motosikal amfibia pula pada musim banjir akan datang. Boleh juga tolong bawa orang kampung ke kawasan selamat”

Ahli Jawatankuasa Persatuan Belia Sepadu Banggol, Khairul Afendi Ibrahim telah berkongsikan rakaman motosikal tersebut meredah banjir di Facebook. Namun, tidak disangka-sangka bahawa perkongsian itu mendapat perhatian ramai sehinggakan menerima banyak pesanan di Messenger.

Sumber: Fendi Khai / Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra