Siakap Keli
Gambar hiasan

Maut Semasa Kimpal Tangki Diesel Lori

KUANTAN, 6 Dis (Bernama) — Seorang jurukimpal rentung dipercayai selepas tangki diesel lori yang sedang dilakukan kerja kimpalan meletup dan terbakar di sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Semambu di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mayat Lai Hoy Shin, 45, ditemukan bersebelahan lori itu selepas kebakaran dipadamkan oleh bomba sekitar 6.18 petang ini.

Katanya, rakan sekerja mangsa Nur Kabir Abdul Hussein, 25, iaitu warga Myanmar, mendakwa mereka memulakan kerja kimpalan pada 5.30 petang, sebelum letupan berlaku secara tiba-tiba.

“Mangsa dikatakan tidak sedarkan diri selepas letupan itu dan rakan mangsa cuba membantu tetapi gagal ekoran api marak dengan pantas menyebabkan dia terus menghubungi bomba.

“Berdasarkan siasatan awal bomba, letupan tong minyak diesel lori itu menyebabkan mangsa pengsan sebelum dia disambar api,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata 18 pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dari Bukit Ubi dan Indera Mahkota bersama tiga jentera tangki air ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Kebakaran dipadamkan dalam masa 15 minit dan Nur Kabir juga mengalami cedera ringan pada tangan kanan akibat kejadian itu.

Mohamad Noor berkata mayat Lai yang beralamat di Kampung Padang di sini, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.