Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Polis Tembak Mati Tiga Lelaki Edar Dadah, Buat Senjata Api

Kota Kinabalu : Tiga lelaki dipercayai warga asing yang disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dan pembuatan senjata api ditembak mati dalam operasi di Kampung  Sinar Jaya, Kinabatangan awal pagi semalam.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata Ops Laras yang disertai 80 anggota polis di dua lokasi dilakukan pada 2.30 pagi semalam.

Katanya sebuan pertama dilakukan ke atas sebuah rumah yang dihuni  tujuh sekeluarga yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

”Semasa melakukan pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan, kedengaran bunyi sebuah motosikal menuju ke rumah tersebut dan setelah tiba di rumah berkenaan dan menyedari kehadiran polis, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran rumah itu.

”Tiba-tiba suspek telah melepaskan satu das tembakan menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan ke arah suspek untuk tujuan mempertahankan diri dan menyebabkan suspek meninggal dunia dilokasi kejadian,” katanya kepada sumber di sini hari ini.

Zaini berkata pemeriksaan terhadap suspek berkenaan menemui satu laras senapang buatan sendiri warna hitam mengandungi satu kelonsong dan enam butir peluru hidup serta 13 paket lutsinar berisi dadah disyaki syabu.

”Pemeriksaan terhadap rumah berkenaan juga menjumpai dua laras senapang angin, satu bilah parang dan empat butir peluru, satu paket dadah seberat 1.35 gram, satu alat penimbang elektronik serta 13 buah telefon bimbit,” katanya.

Pada masa yang sama, pasukan operasi kedua turut melakukan serbuan di sebuah lagi rumah yang terletak berhampiran rumah pertama.

”Semasa serbuan berkenaan suspek yang berada dalam rumah telah melepaskan beberapa das tembakan apabila menyedari kehadiran polis. Pasukan keselamatan kemudiannya melepaskan tembakan dan dalam kejadian berbalas tembakan itu dua suspek telah terbunuh.

”Pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek telah menjumpai dua pucuk senjata api jenis ‘Revolver Smith and Wesson 38’ dan satu pucuk pistol buatan sendiri. Antara yang turut dirampas bersama kedua-dua suspek berkenaan adalah wang tunai RM2,376, mata wang Filipina 700 peso, sembilan bungkus plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 800 gram,” katanya.

Zaini berkata turut dirampas dua laras senapang angin buatan sendiri, beberapa komponen senjata api, tujuh butir peluru senapang patah dan dua butir peluru pistol.

Beliau berkata siasatan mendapati tiga suspek yang maut itu berusia antara 30 dan 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan pembuatan senjata api.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.