Siakap Keli

Lagu ‘Negaraku’ Dalam Mandarin Untuk Kefahaman Murid -KPM

Putrajaya, 6 Dis – Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, siasatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati klip video murid menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ dalam Bahasa Mandarin yang tular di laman sosial berlaku ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Bahasa Mandarin digunakan untuk memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab menyanyikan lagu tersebut oleh rakyat negara ini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan,” katanya.

Ekoran klip yang tular itu, kementerian menjalankan penyiasatan dan mendapatkan penerangan daripada sebuah sekolah di Negeri Sembilan mengenai rakaman berkenaan.

Walaubagaimanapun, kementerian mengingatkan semua sekolah agar sentiasa bijak dalam melaksanakan perkara asas terhadap lambang-lambang negara.

Hal ini termasuklah lagu Negaraku dalam PdP bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

Tambahnya, KPM menegaskan bahawa lagu kebangsaan Negaraku dilarang sama sekali untuk diubah atau dipinda dalam apa-apa bentuk sekalipun.

Pelaksanaannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah hendaklah hendaklah mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Klip berdurasi 1.23 minit itu menunjukkan murid menyanyikan lagu dalam Bahasa Mandarin, didakwa berlaku pada 26 September 2018 di salah sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.