Siakap Keli
Gambar hiasan

Pesakit Mental, Suspek Lakukan Khianat Di Gereja St Anne

BUKIT MERTAJAM, 6 Dis (Bernama) — Lelaki yang dipercayai melakukan khianat dengan menyembur cat hitam ke beberapa buah patung dan lantai di Gereja St Anne di Jalan Kulim , di sini, kelmarin, telah berjaya dikesan dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT),  ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, suspek berusia 34 tahun itu yang mempunyai masalah mental itu berjaya dikesan di Sri Damansara, Selangor menerusi nombor pendaftaran motosikal yang digunakan semasa kejadian tersebut.

“Berdasarkan nombor pendaftaran motosikal itu, polis berjaya mengesan pemiliknya iaitu abang kepada lelaki berkenaan sebelum dia memaklumkan motosikal tersebut digunakan adiknya. Pemeriksaan kami mendapati isteri suspek membuat laporan terhadap suaminya kerana dipukul semalam.

“Wanita itu turut meminta bantuan pihak polis untuk menghantar suaminya ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan psikiatri dan suspek telah dihantar ke hospital tersebut hari ini bagi merawat masalah mentalnya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, pegawai penyiasat kes itu dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh untuk berjumpa suspek dan ahli keluarganya bagi mendapatkan maklumat lanjut dalam membantu siasatan kes tersebut.

Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu menunggang motosikal berkenaan sendirian dari rumahnya di Sri Damansara sejak Selasa sebelum tiba di gereja berkenaan keesokan harinya dan melakukan khianat dengan menyembur cat hitam sebelum pulang semula ke Selangor.

“Berdasarkan keterangan awal ahli keluarga lelaki itu, dia memang menerima rawatan mental sejak awal tahun ini dan sebelum ini tiada masalah kesihatan (mental). Sebaik tiba di rumahnya semalam dia memukul isterinya sebelum wanita tersebut membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatannya,” katanya.

Beliau berkata polis akan mendapatkan penerangan daripada doktor sama ada lelaki itu perlu menerima rawatan terlebih dahulu atau boleh ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira jam  4.45 petang itu, seorang pekerja di situ memaklumkan kepada pengurus keselamatan di gereja berkenaan berhubung tindakan seorang lelaki menyembur cat hitam ke atas patung dan lantai di dalam serta luar rumah ibadat tersebut.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.