Siakap Keli

(Video) Andre Anura Lebur Rekod Kebangsaan Berusia 12 tahun

Skuad olahraga negara membuka kempen Sukan SEA ke-30 di Filipina dengan pencapaian sederhana setelah sekadar mengutip dua pingat perak dan satu gangsa pada hari pertama pertandingan di Stadium Olahraga New Clark City, di sini, hari ini.

Atlet kelahiran Sabah, Andre Anura Anuar, bagaimanapun, mencuri tumpuan setelah memecahkan rekod lompat jauh kebangsaan selama 12 tahun milik Josbert Tinus dengan lompatan 8.02 meter (m) untuk meraih pingat perak.

Catatan berkenaan, sekali gus menyaksikan Anura memadam rekod terdahulu iaitu 7.88m dengan jarak dilakar Josbert pada Kejohanan Terbuka Thailand cdi Bangkok pada Oktober 2007.

“Saya tidak sangka buat lompatan melebihi 8 meter kerana sasaran saya hanya lakukan yang terbaik, dan saya bersyukur dapat pecahkan rekod kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya acara berkenaan.

Anura melakar catatan peribadi terbaik 7.90m yang dilakukannya pada Kejohanan Terbuka Berwang di Kota Kinabalu pada 2 Nov lalu, namun tidak disahkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana beliau mendapat bantuan angin melebihi 2.0 meter per saat.

Pingat emas acara berkenaan dimenangi oleh atlet Indonesia, Sapwaturrahman yang mencipta rekod baharu Sukan SEA iaitu 8.03m dan berjaya memadam rekod terdahulu dicipta atlet Filipina, Henry Dagmil pada edisi 2007 di Korat, Thailand.

Atlet Thailand, Suttisak Singkhon meraih gangsa dalam acara berkenaan dengan lompatan sejauh 7.89m.

Dalam pada itu, pemegang rekod kebangsaan acara lompat bergalah lelaki, Iskandar Alwi sekadar mencatat ketinggian 5.0m untuk meraih pingat gangsa dalam acara berkenaan.

Wakil tuan rumah, Ernest John Obiena memenangi acara berkenaan setelah mencatat rekod baharu Sukan SEA iaitu 5.45m, sekaligus memadam rekod terdahulu, iaitu 5.35m yang dilakar atlet Thailand, Porranot Purahong pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Purahong terpaksa berpuas hati dengan kutipan perak setelah mencatat lompatan setinggi 5.20m.

Pelari kelahiran Australia, Russell Alexander Nasir Taib pula menghadiahkan pingat perak untuk Malaysia dalam acara 200m setelah mencatat masa 21.11 saat (s).

Dua atlet Thailand, Chayut Khongprasit dan Siripol Punpa meraih dua kedudukan teratas selepas masing-masing melakar catatan masa 20.71s dan 20.78s.

Pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi, Jackie Wong Siew Cheer pula meraih pingat perak menerusi balingan sejauh 63.83m manakala rakan sepasukan, Sadat Marzuki Ajisan menduduki tangga keempat dari tujuh peserta dengan balingan 57.35m.

Atlet Thailand, Kittipong Boonmawan mencipta rekod baharu Sukan SEA menerusi balingan sejauh 67.56m, sekali gus memadam rekod terdahulu, 65.90m dicipta Wong pada 2017.

Atler Myanmar, Aung Ye Htet meraih gangsa dengan balingan sejauh 58.88m

Sumber: Bernama,  Twitter Atlet Malaysia

Zetty Amelia

Nur Farra