Siakap Keli

Doktor Terselamat Kereta Terjunam Dalam Sungai

Seorang doktor terselamat apabila kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Redong, di jambatan Felda Redong, dekat Segamat, hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Labis Pegawai Bomba Kanan II Sharfini Nasar berkata kejadian berlaku ketika Nur Syarifah Hidayu Hassan, 25, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Selancar 3, Segamat, selepas selesai bertugas di Hospital Segamat.

“Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.22 tengah hari tadi.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Labis mendapati kereta tersebut jatuh ke dalam sungai berkedalaman 0.3 meter,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sharfini berkata bomba menggunakan seutas tali dan peranti pengapungan peribadi (PFD) bagi membantu menyelamatkan doktor itu.

Beliau berkata wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dihantar ke Hospital Segamat menaiki kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan ditemani ibunya bagi pemeriksaan lanjut.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story