Siakap Keli

Samoa Dilanda Darurat Demam Campak, 70 Disahkan Maut Dan Ribuan Sakit Dipercayai Ramai Tak Suntik Vaksin

Kerajaan Samoa telah mengesahkan bahawa jumlah kematian akibat wabak demam campak yang sedang melanda negara itu telah meningkat kepada 70 orang dengan dua lagi kematian sejak wabak tersebut tular pada pertengahan Oktober dicatatkan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Samoa, Menteri Kesihatan Samoa melaporkan bahawa daripada 70 jumlah kematian yang dilaporkan itu, 61 daripadanya adalah kanak-kanak berusia empat tahun, dengan dua kematian yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Kementerian tersebut menyatakan bahawa sebanyak 4,693 kes demam campak telah direkodkan ke Pasukan Pengawasan Penyakit setakat ini, dengan 112 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Pada masa ini, seramai 159 orang telah dimasukkan ke hospital akibat wabak demam campak yang sedang melanda negara tersebut.

Samoa didakwa sedang berada dalam keadaan darurat, semua sekolah dilaporkan ditutup, menyaksikan kerajaan melancarkan kempen pemvaksinan secara besar-besaran serta perhimpunan awam di negara tersebut telah dihadkan.

Pada Khamis dan Jumaat lepas, sebahagian besar perkhidmatan awam dan perkhidmatan kerajaan di Samoa telah dilaporkan ditutup bagi membolehkan semua penjawat awam membantu kempen pemvaksinan besar-besaran di seluruh negara pulau itu.

Sehingga 8 Disember, kira-kira 90 peratus daripada semua orang yang berkelayakan di Samoa telah diberikan vaksin untuk mencegah wabak demam campak tersebut.

Demam campak adalah sejenis penyakit virus yang sangat mudah dijangkitiĀ  melalui titisan cecair dari hidung, mulut atau tekak orang yang dijangkiti.

Sebanyak 5-10 peratus kematian boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti demam campak ini di negara-negara membangun.

Sumber: Xinhua

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.