Siakap Keli
Gambar hiasan

WhatsApp Bakal Mengenakan Sekatan Terhadap Pengguna Telefon Lama

Aplikasi popular dunia, WhatsApp akan memulakan sekatan ke atas berjuta-juta pengguna model telefon pintar yang lama pada tahun depan.

Bermula dari 1 Februari 2020, mana-mana model iPhone yang masih lagi menggunakan sistem operasi iOS 8 dan kebawah tidak akan dapat menggunakan aplikasi WhatsApp lagi, begitu juga dengan telefon pintar yang menggunakan sistem Android versi 2.3.7 dan ke bawah.

Pengguna sistem operasi ini kini sudah pun tidak dapat mendaftar akaun WhatsApp yang baharu atau mengesahkan semula akaun yang sedia ada.

Selain daripada itu, aplikasi WhatsApp ini juga bakal mengenakan sekatan ke atas telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Windows pada 31 Disember 2019 – sejajar dengan langkah Microsoft untuk menghentikan sokongan kepada sistem operasi Windows 10 Mobile mereka.

Menurut syarikat tersebut, tujuan sekatan ini dilakukan adalah kerana mereka mahu lebih fokus membangunkan dan memperbaiki fungsi serta ciri-ciri aplikasi WhatsApp pada telefon yang terkini.

WhatsApp akan hanya boleh beroperasi pada peranti yang menggunakan sistem Android 4.0.3 ke atas dan telefon pintar iPhone yang menggunakan iOS 9 ke atas sahaja.

Model telefon lain yang telah pun disekat daripada penggunaan aplikasi Whatsapp adalah BlackBerry OS dan BlackBerry 10 pada 31 Disember 2017, Nokia S40 pada 31 Disember 2018 serta Nokia Symbian S60 pada 30 Jun 2017.

Sumber: Daily Mail/Astro Awani

Aqmal Ezany

I write what is right