Siakap Keli
Gambar: Bernama

Zahid Terima Gaji RM44,383.15 Sebulan Sebagai TPM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima gaji dan elaun berjumlah RM44,383.15 sebulan untuk jawatan itu dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

Setiausaha Bahagian (Hal Ehwal Perlembagaan dan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Daman Huri Nor, 55, berkata semasa memegang jawatan itu sejak 28 Julai 2015 hingga 9 Mei 2018, Ahmad Zahid menerima gaji hakiki RM18,168.15 sebulan manakala elaun RM26,215.

Katanya sementara gaji hakiki yang diterima Ahmad Zahid sebagai Menteri Persekutuan (Menteri Dalam Negeri) bermula 16 Mei 2013 sehingga 27 Julai 2015 adalah RM14,907.20 manakala elaun yang diperoleh sebanyak RM24,320.

“Elaun-elaun yang diterima beliau adalah berdasarkan ketentuan elaun dan keistimewaan bagi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Persekutuan (pindaan hingga November 2014),” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Ali.

Daman Huri berkata demikian semasa membacakan penyataan saksi pada hari ke-12 perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Saksi pendakwaan ke-22 itu turut mengecam dokumen perakuan tentang kedudukan atau jawatan dipegang Ahmad Zahid yang dikemukakan kepadanya oleh Mohd Alif.

Sementara itu, saksi lain, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd, Datuk Wasi Khan @  Wasiyu Zama Israr Ahmad, 50, tidak bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad bahawa pinjaman dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd adalah untuk pelaburan.

Rosal: Datuk setuju jika saya kata pelaburan ini bertujuan untuk mendapatkan keuntungan kepada Yayasan Akalbudi?

Wasi: Tidak setuju.

Wasi juga tidak bersetuju dengan cadangan Rosal bahawa Ahmad Zahid mempunyai kepentingan dalam syarikat Armada Holdings Sdn Bhd.

Semalam, Wasi berkata Ahmad Zahid telah meminjamkan dana Yayasan Akalbudi RM10 juta kepada syarikat Armada Holdings Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat pengimport dan pembekal arang batu selepas diperkenalkan oleh Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenal sebagai Datuk K.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata pinjaman itu untuk pihaknya perlu modal berbayar RM10 juta sebagai memenuhi syarat minimum berdaftar untuk pembekal arang batu Indonesia bagi kontrak spot TNB Fuel Services Sdn Bhd.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 11 Feb depan.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa