Mata merupakan anugerah yang tidak ternilai dan tidak akan terganti. Disebabkan itu, kita seharusnya menjaganya sebaik mungkin.
Sebelum ini, anda pasti pernah mendengar mengenai penemuan 27 keping kanta lekap terlekat di dalam mata kanan seorang perempuan pada tahun lepas dan baru-baru ini ada satu lagi kes berkaitan dengan kanta lekap yang dialami oleh seorang wanita berusia 42 tahun.
Wanita itu berjumpa dengan pakar sakit mata kerana mengalami bengkak pada kelopak mata kiri dan telah enam bulan berasa tidak selesa di bahagian tersebut.
Setelah melakukan imbasan, doktor menemui benjolan kecil di bawah matanya dan mengesahkan bahawa ia merupakan cyst yang berukuran 8x4x6 milimiter.
Pakar mata seterusnya melakukan pembedahan untuk membuang cyst tersebut namun terkejut apabila menemui kanta lekap di dalam tisu kelopak mata wanita tersebut.
Pada awalnya, wanita tersebut bingung kerana tidak tahu dari mana datangnya kanta lekap tersebut namun misteri terungkai apabila ibunya teringat kembali kejadian sewaktu wanita itu berumur 14 tahun yang memperlihatkannya terkena bulu tangkis sewaktu bermain badminton.
Doktor beranggapan bahawa kanta lekap ‘berpindah’ ke kelopak mata wanita itu dan kekal disitu selama 28 tahun .
Sumber: Interesting Engineering