Siakap Keli

”Sedih Bila Dah Tak Boleh Nak Sujud, Teringin Nak Sembah Allah, Letak Kepala Di Lantai”

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bertuahnya sebagai manusia apabila kita dikurniakan nikmat kesihatan yang baik, sihat tubuh badan tanpa cacat dan cela. Tetapi ramai yang tidak mensyukuri nikmat ini sehinggalah ia ditarik semula.

Perkongsian seorang individu Joe Bundle mengenai kisah yang terjadi dalam hidupnya ternyata membuatkan ramai yang sebak. Akibat kemalangan jalan raya yang berlaku tiga tahun lalu, dia kehilangan nikmat fizikal yang dikurniakan Allah. Kaki kanannya kini sudah tidak dapat lagi dibengkokkan buat selamanya.

Lebih menyedihkan, apa yang paling dirindukanya adalah untuk bersujud pada sang pencipta alam. Tetapi dia sudah tidak mampu lagi berbuat demikian. Ikuti luahan yang penuh keinsafan dan pengajaran ini.

Kali terakhir rasa sujud..

Kali terakhir saya dapat merasa sujud seperti orang ramai adalah pada 10th Feb 2017 di Masjid Dato Haji Kamaruddin Seksyen 51A Petaling Jaya.

Tiga jam selepas itu saya kemalangan dilanggar kereta dan saya sudah cacat kekal dan tak boleh bengkok kan lutut kanan buat selamanya. Sejak dari itu saya hanya sembahyang sambil baring, mengiring dan akhirnya duduk di atas kerusi.

Pernah bila tak ada kerusi di satu-satu tempat saya duduk jugak lah kat atas apa pun. Saya pernah duduk atas tangga, atas pasu bunga dan pernah duduk atas tingkap (Masjid Tokyo Camii di Jepun). Pernah jugak lansung tak ada benda nak duduk saya hanya bersandar sambil mencangkung macam leg day punya training tu.

Menyesal dulu tak sembahyang banyak-banyak

Bukan saya nak mengeluh, tapi saya cuma nak berkongsi kepada anda bagaimana susahnya nak solat bila Tuhan dah tarik nikmat kesihatan. Yang lebih menyedihkan, bila dah tak boleh nak sujud ni, kita teringin rasa nak sujud.

Teringin nak sembah Allah, nak letak kepala kita di lantai. Nak bagitahu Dia kita sayang kat Dia, kita takut kat Dia. Menyesal dulu tak sembahyang banyak-banyak. Saya harap kawan-kawan tak jadi macam saya. Solat lah sementara ada peluang. Sujud lah sementara boleh ni.

Tuhan bagi peluang kedua..

Saya dah merasa hidup dalam wad lama, dan bila saya sembahyang, orang yang tengok saya sembahyang dia pun teringin nak sembahyang jugak. Bila kita baca Quran dia cakap sedap. Padahal saya baca tak sedap pun. Saya tahu mereka rindu nak baca Quran tapi tak reti. Nak sembahyang tapi dah terlambat.

Kalau dah sakit baru nak start sembahyang memang susah. Dah terlambat sangat. Kami semua yang dah merasai kesakitan ini sekarang dah tahu erti penyesalan.

Tapi kami masih belum terlambat kerana Tuhan dah bagi kami peluang kedua walaupun bukan semua yang dapat. Harapan kami agar anda tidak perlu lah menunggu hari tua baru nak mula sembahyang.

Sumber : Joe Bundle

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra