Siakap Keli

(Video) Pelajar Malaysia Dapat Pengiktirafan, Berucap Depan 6,000 Orang Pada Hari Graduasi Di AS

Setiap kali tibanya musim konvokesyen, kita pasti akan melihat dan mendengar pelbagai kisah-kisah yang boleh memberikan inspirasi dan motivasi kepada diri kita.

Baru-baru ini, seorang rakyat Malaysia bukan sahaja memberikan inspirasi kepada orang ramai malahan membanggakan Malaysia kerana berpeluang untuk memberikan ucapan sempena hari graduasinya di Universiti Wisconsin Madison.

Melalui Youtube Camus Alpha, Lisa Kamal diberi penghormatan oleh pihak universiti untuk memberi ucapan di hadapan lebih 6,000 orang mewakili graduan-graduan yang lain.

Berjauhan 9,000 batu dari negara tercinta, Lisa melalui ucapannya menceritakan bagaimana beliau memasuki universiti tersebut di hadapan rakan-rakannya.

Memulakan ucapannya dengan lagu Broadway muzikal popular, Hamilton, ia menjadi mekanisme untuk mengatasi hari-hari yang sukar baginya.

“Saya datang ke sini melalui biasiswa dan ia merupakan perjalanan yang sangat jauh dari Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau dilahirkan di Amerika semasa ibu bapanya masih belajar namun beliau membesar di Malaysia sepanjang hidupnya. Beliau juga ingin mengikuti langkah ibu bapanya yang memasuki kolej di Amerika.

Selepas sekolah menengah, Lisa memohon biasiswa dari Petronas dan berjaya mendapatkannya.

Menjadi salah satu senarai bidang yang ditaja oleh Petronas, Lisa memilih geologi sebagai bidang utama di universiti tersebut dan beliau telah terlibat dalam kajian lapangan serta bekerja untuk Wisconsin Geological and Natural History Survey.

Lisa sebelum ini pernah memenangi Anugerah Biasiswa Junior Lowell R. Laudon Cemerlang dari Jabatan Geosains dan anugerah “On To the Future” daripada Persatuan Geologi Amerika.

Menurut portal berita University of Wisconsin Madison, Laurel Goodwin, seorang profesor di Jabatan Geosains, menceritakan bagaimana Lisa memilih untuk mengambil kursus peringkat siswazah yang sangat mencabar dalam analisis mikropro elektron.

Pemerhatian bijak Lisa membentuk asas untuk projek penyelidikan dengan John Fournelle, merupakan seorang saintis senior UW-Madison dan ketua microanalisis dunia sehingga dianugerahkan Hilldale Undergraduate Research Fellowship yang merupakan geran penyelidikan universiti bagi meneruskan projek tersebut.

“Tahun kedua saya di kolej, saya menghadapi beberapa kesukaran sehingga hilang motivasi untuk menghabiskan ijazah ini.

“Saya masih ingat ketika berusia enam tahun, saya menangis ketika beraksi diatas pentas kecil, namun kini pada usia 22 tahun, saya diberi peluang untuk berucap di hadapan khalayak ramai. Ia sangat menakjubkan.”

“Saya tidak dapat menghabiskan pelajaran ijazah ini tanpa rakan-rakan yang ada di sini,” katanya.

Menurut portal itu lagi, Lisa akan kembali ke Malaysia dan memulakan komitmen kerja lima tahun bersama Petronas.

Pencapaian yang membanggakan itu membuatkan rata-rata netizen kagum dan masing-masing mendoakan agar Lisa terus berjaya di masa hadapan.

Sumber: NBC, Camus Alpha

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra