Siakap Keli
Gambar : Instagram edayubaharom

Betul Ke Makin Lama Wajah Kita Akan Jadi Seiras Dengan Pasangan? – Kajian

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Mesti ramai yang pernah mendengar kata-kata mengenai wajah pasangan yang dikatakan hampir sama dan mempunyai jodoh kuat.

Tetapi, adakah benar kenyataan tersebut bahawa semakin lama bersama wajah kita akan menjadi seiras dengan pasangan?

Sebenarnya, ia bukan hanya sekadar cakap kosong, tetapi terdapat beberapa teori yang menyokong kajian mengapa wajah setiap pasangan dikatakan seiras.

Untuk mengetahui lebih lanjut, ikuti kupasan menarik beserta fakta oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Teori tarikan wajah seiras dengan pasangan

Tidak dinafikan, adakalanya apabila melihat mana-mana pasangan, sekali imbas, raut wajah mereka seakan-akan seiras.

Gambar : Instagram edayubaharom

Ada kajian yang mengatakan sebenarnya terdapat daya tarikan pada seseorang individu membuatkan kita cenderung untuk memilih pasangan yang mempunyai iras wajah seperti diri sendiri atau ibu mahupun bapa kita sendiri. Setuju ke tidak? 

Kecenderungan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan teori assortative mating yang menjadikan seseorang untuk lebih memilih individu yang mempunyai fizikal yang sama atau hampir sama sebagai pasangan. 

Malahan, terdapat juga beberapa teori yang menyokong kajian mengapa wajah anda dan pasangan hampir seiras:

  1. Teori assostative mating menyimpulkan kita cenderung memilih individu yang mempunyai ciri fizikal yang sama (physical phenotype) dan strata sosial yang setara
  2. Pasangan juga cenderung untuk mempunyai tabiat, bahasa badan dan gaya yang sama dikatakan akan lebih menunjukkan ikatan emosi yang selesa dan saling mempercayai
  3. Dikatakan sistem imunisasi badan antara pasangan juga akan menjadi hampir sama jika sudah bersama untuk tempoh yang lama. Sebagai contoh, jika pasangan anda sakit, maka anda juga akan cenderung untuk tidak sihat, betul ke tidak?
  4. Pengalaman hidup yang dilalui bersama, melibatkan cabaran, rintangan dan pergolakan emosi akan membuatkan kedutan pada wajah akan berlaku di tempat yang sama. Haa…nanti bolehlah check muka pasangan anda, ya?

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh seorang ahli psikologi sosial di Amerika Syarikat, Robert Zanjonc, telah membandingkan gambar pasangan yang diambil pada hari perkahwinan mereka dan gambar yang diambil 25 tahun kemudiannya.

Gambar : Instagram edayubaharom

Kajiannya menunjukkan bahawa walaupun pada awalnya pasangan suami isteri tersebut tidak mempunyai persamaan wajah langsung, namun setelah 25 tahun bersama dalam ikatan perkahwinan, raut wajah mereka kelihatan begitu seiras.

Fakta lain daripada kajian ini mengatakan semakin bahagia sesebuah perkahwinan itu, maka akan tinggi kemungkinan untuk berlaku kemiripan pada wajah kedua-dua pasangan. Anda mungkin boleh mencuba kesahihan teori ini dengan melihat wajah kedua ibu bapa anda, seiras tak?

Kaitan genetik?

Menurut laporan yang dari Boston University School of Public Health dan University of California, pasangan yang seiras ini mungkin mempunyai kaitan dengan genetik. 

Keadaan ini boleh berlaku apabila pasangan yang dipilih itu adalah dari masyarakat setempat dan itu mungkin membuatkan mereka adalah berketurunan yang sama. 

Laporan yang diterbitkan dalam PLOS Genetics ini telah menganalisis tiga generasi keluarga kulit putih dari Framingham Heart Study (FHS).

Kajian FHS yang dimulakan pada tahun 1948, melibatkan lebih 5,209 individu lelaki dan wanita yang berusia antara 30 hingga 62 tahun di bandar Framingham, Mass.

Penyelidikan ini menganalisis data genotip genom (genome-wide genotype data) atau kajian genetik terhadap 800 pasangan. Tujuan penyelidikan ini dilakukan adalah untuk menentukan ciri keturunan genetik mereka.

Menerusi catatan penyelidik di dalam jurnal tersebut “Dalam penyelidikan melibatkan pasangan suami isteri ini, penyelidik mendapati bahawa individu dari Eropah / Barat Utara, Eropah Selatan dan berketurunan Ashkenazi lebih gemar memilih pasangan daripada keturunan yang sama.

Walau bagaimanapun, tahap endogami ini menurun dari setiap generasi khususnya antara Eropah / Barat Utara dan Eropah Selatan.

Dari raut wajah

Faktor raut wajah yang serupa mungkin menjadi antara ciri-ciri dalam mencari pasangan. Menurut laporan kajian Personality and Social Psychology Bulletin, rata-rata individu akan tertarik kepada individu lain yang kelihatan seperti ibu bapa atau diri mereka sendiri.

Gambar : Instagram edayubaharom

Dalam dua kajian yang berasingan, responden yang terlibat dalam kajian diberikan gambar: yang pertamanya adalah gambar ibu atau bapa bersama individu asing dan yang keduanya adalah gambar individu asing dan responden sendiri.

Apabila subjek diminta untuk menentukan gambar yang mana lebih menarik perhatian, mereka biasanya akan memilih gambar individu asing dengan gambar sendiri.

Keadaan ini disimpulkan sebagai satu sifat semula jadi manusia yang akan mencari sesuatu yang biasa mudah untuk mereka ramalkan.

Menurut pakar mencari pasangan, Chantal Heide yang telah melakukan penyelidikannya sendiri, turut melihat corak serupa seperti kajian yang dilakukan oleh ahli psikologi sosial, Robert Zanjonc.

Chantal menyatakan, apabila seseorang individu melihat seseorang yang menyerupai mereka, maka secara automatik akan wujud rasa kepercayaan di dalam otak.

Bagi individu yang meletakkan syarat kepercayaan sebagai satu sifat penting dalam pasangan, tanpa sedar akan tertarik kepada mereka yang mempunyai raut wajah seiras.

Jodoh lebih serasi jika seiras dengan pasangan?

Sesungguhnya setiap pasangan yang berkahwin pasti ingin perkahwinan yang berkekalan sehingga ke akhir hayat. Namun, adakah faktor raut wajah seiras dengan pasangan akan menjadi penentu kebahagiaan?

Raut wajah seiras dengan pasangan bukanlah faktor penentu kepada kebahagiaan yang hakiki. Ini kerana terdapat beberapa faktor lain yang boleh mempengaruhi kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan walaupun mungkin raut wajah anda dan pasangan tidak seiras.

Berikut adalah beberapa petanda kebahagiaan dalam sesebuah perkahwinan:

Bahagia

Jika anda berasa gembira setiap kali bersama pasangan, itu adalah tanda kebahagiaan dalam perhubungan.

Gambar : Instagram edayubaharom

Bertolak ansur

Serasi bersama pasangan tidak bermakna perlu melakukan segalanya bersama. Tetapi boleh bertolak ansur itu adalah satu sikap dapat membantu meningkatkan kebahagiaan dalam rumah tangga. Ia adalah lebih kepada saling melengkapi antara satu dengan yang lain.

Tenang

Pernah tidak anda berasa tenang walaupun hanya sekadar duduk bersama pasangan tanpa melakukan apa-apa? Itulah tanda anda bahagia bersama pasangan anda.

Ini kerana untuk bersama seseorang bagi tempoh yang lama, memerlukan ketenangan dalam diri. Jika apabila bersama pasangan, anda hanya berasa serabut, itu mungkin ada perkara yang perlu difikirkan semula.

Sentiasa ada

Apabila kita sayangkan seseorang, sudah tentu secara semula jadi akan lahir rasa bimbang. Jadi cuba tengok pada ketika anda tidak sihat, bagaimana reaksi si dia? 

Selamat

Sewaktu pasangan anda berada di samping, adakah wujud rasa selamat? Jika ya, itu adalah petanda anda bahagia bersama si dia. Tetapi jika wujud rasa takut, sekali lagi, anda perlu menilai semula hubungan anda dan pasangan.

Kesimpulannya

Sebenarnya, jodoh yang berpanjangan atau bahagia bukanlah bergantung kepada wajah seiras dengan pasangan, tetapi ia adalah bergantung kepada apa yang anda rasa ketika bersama si dia. 

Jika anda bertemu jodoh dengan si dia yang memiliki raut wajah seiras, itu adalah rezeki dan kelebihan untuk anda. Jika sebaliknya, percayalah raut wajah bukan pengukur kebahagiaan. Semoga berbahagia!

Sumber : Asyikin Md Isa via Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra