Siakap Keli

12 Perkara Wajib Para Isteri Tahu Tentang Harta Peninggalan Arwah Suami

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Harta pusaka adalah harta peninggalan yang ditinggalkan  selepas kematiannya. Pembahagian harta pusaka ini adalah sangat penting bagi mengelakkan perebutan harta sehingga menyebabkan terputusnya silaturrahim.

Bagi isteri yang kehilangan suami pula, segala urusan untuk membahagikan harta pusaka tersebut pastinya terletak pada si isteri sekiranya anak-anak masih kecil. Pasti ramai yang tidak mengetahui hak dan perkara yang perlu diketahui dalam mengurus harta peninggalan suami.

Justeru pada itu, satu akaun Facebook bernama Wasiat Hibah Pusaka Faraid MAIS ada berkongsikan tentang perkara yang perlu diketahui oleh si isteri. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

APA YANG ISTERI PERLU TAHU BERKAITAN HARTA PUSAKA SUAMI?

1. Meninggal tanpa membuat wasiat

Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.

2. Waris yang berhak

Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.

3. Adik-beradik arwah tidak berhak

Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.

4. Waris yang layak

Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.

5. Waris tidak cukup umur berhak

Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.

6. Isteri yang diceraikan

Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

7. Meninggal selepas akad nikah

Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

8. Isteri berhak mewarisi walau suami mengharamkan

Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.

9. Harta yang berkongsi

9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.

10. Penama KWSP

Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.

11. Harta yang tidak layak diwarisi

11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.

12. Harta yang boleh dituntut isteri

Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.

Sumber: Wasiat Hibah Pusaka Faraid MAIS

Aqmal Ezany

I write what is right

Nur Farra