Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Remaja Lelaki Lembam Lemas Ketika Memancing Di Sg Telor

Kota Tinggi : Seorang remaja lelaki lembam ditemui lemas di Sungai Telor selepas tergelincir ke dalam sungai berkenaan ketika memancing, pagi tadi.

Penolong Ketua Daerah Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Mohd Norahpandi Samsudin berkata kejadian pada pukul 11.26 pagi itu berlaku ketika Muizzuddin M. Nasir, 18, bersama rakannya Muhammad Haikal Iskandar Halim, 13, sedang memancing.

“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang memancing di Sungai Telor dan kemudiannya salah seorang tergelincir. Yang tergelincir itu kita percaya memegang kad orang kurang upaya,” kata beliau ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sungai Telor, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pasukan penyelamat di air (PPDA) JBPM membuat pencarian menggunakan dua unit bot orang kampung dalam jarak 500 meter dari lokasi pertama mangsa dipercayai jatuh.

Selain itu, pasukan PPDA membuat pencarian di permukaan air menggunakan tali, serta dibantu orang kampung dalam pencarian sekitar tebing sungai.

Mayat Muizzuddin, kemudiannya ditemui di dasar sungai oleh PPDA pada jarak 50 meter dari tempat pertama mangsa dipercayai jatuh, kira-kira 3.05 petang, tambah beliau.

Bagaimanapun, Muhammad Haikal berjaya diselamatkan orang kampung setelah hanyut kira-kira 50 meter.

Menurut Norahpandi, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa Muhammad Haikal, Halim Amir berkata kejadian itu dimaklumkan kepadanya oleh salah seorang ibu rakan anaknya.

“Saya dimaklumkan apabila Muizzuddin tergelincir, anak saya terjun ke dalam sungai untuk cuba menyelamatkan Muizzuddin tetapi kedua-duanya hanyut,” kata beliau.

Bagaimanapun, anaknya berjaya diselamatkan oleh orang kampung.

Katanya memang sudah menjadi kebiasaan bagi anaknya dan anak-anak kampung di situ memancing di sungai berkenaan.

“Alhamdulillah, anak saya tidak ada apa-apa dan sekarang berehat di rumah. Cuma, dia sedikit trauma dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.