Siakap Keli
Kredit: Aimpro Samudra

(Video) Dua Beranak Naik Kelisa Dari Malaysia Ke Turki Demi Misi Bantuan Musim Sejuk

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seorang pengembara bersama anaknya berjaya membuktikan bahawa kereta tempatan turut berkemampuan untuk merentasi benua dan sempadan negara.

Dengan menaiki Perodua Kelisa yang berusia kira-kira 15 tahun, Nursulhi Rahim atau lebih dikenali sebagai Along telah memulakan pengembaraan bersama anak lelakinya merentasi benua dalam tempoh lebih kurang sebulan sehingga hari ini.

Mereka yang bekerjasama dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam misi Road For Ummah 2019 untuk menyampaikan bantuan musim sejuk ke Syria ini telah memulakan perjalanan dari Kampung Pulau Sebang, Melaka pada 3 November lalu.

Kini, mereka telahpun tiba di Turki setelah melalui liku-liku di sepanjang perjalanan merentasi Thailand, Myanmar, India dan Iran.

Penjagaan kereta

Ketika ditanya cara penjagaan kereta, katanya mereka hanya menjaga kereta sepertimana di Malaysia. Perkara asas seperti menukar minyak enjin, menukar pad brek dan sebagainya dilakukan apabila perlu.

Selain itu, beliau berkata, pemanduan dilakukan pada kelajuan 80 ke 100 kilometer sejam sahaja agar tidak membebankan kereta tersebut.

“Bila di kawasan di Myanmar, India di mana jalannya teruk dengan lubang-lubang sana sini, di situ dengan bebanan kereta, saya pandu 30 hingga 40 km/j,” katanya.

Kata Along, antara cabaran terbesar ketika dalam perjalanan mereka adalah masalah komunikasi di mana kebanyakan rakyat negara-negara seperti Myanmar, Pakistan dan Iran kurang berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Lantaran itu, mereka menggunakan aplikasi Google Translate untuk berkomunikasi dengan penduduk tempatan.

Selain itu tambahnya, mereka juga hampir diperas oleh pihak tertentu ketika tiba di sempadan antara dua buah negara namun berjaya dihindari walaupun terpaksa menerima makian.

Nursulhi berharap pengembaraan mereka dapat menjadi inspirasi kepada orang ramai di samping membuka mata masyarakat agar terus membantu misi kemanusiaan kepada negara-negara memerlukan.

Kredit: MAPIM

“Supaya menjadi tauladan dan contoh yang baik kepada generasi akan datang upaya keluar mengembara melihat dunia dan mengenal diri,” katanya.

Kembara itu turut disertai kira-kira 5 kumpulan rakan-rakan lain dalam kumpulan “We Are Malaysian” di mana masing-masing mempunyai destinasi berlainan.

“”We Are Malaysian” sebenarnya ada perjalanan penceritaan kasih sayang antara sahabat, anak, masyarakat dan jati diri negara Malaysia tercinta,” kata beliau kepada Siakap Keli.

Sumber: Aimpro Samudra

Amira

Love yourself.

Nur Farra