Siakap Keli

Wanita Muslim Hamil Diserang Selamat Lahirkan Anak

Seorang wanita Islam yang diserang di sebuah kafe di Sydney tempoh hari telah dilaporkan berjaya melahirkan seorang bayi lelaki.

Wanita yang berusia 31 tahun itu dipercayai sedang hamil 38 minggu ketika diserang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali semasa bersama rakan-rakannya di sebuah kafe.

Lelaki yang menyerangnya itu telah didakwa atas tuduhan melakukan kekejaman dan serangan sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada 20 November lalu.

Susulan daripada kejadian itu, ratusan netizen yang melihat video rakaman tersebut menyatakan sokongan ke atasnya dan berharap agar kandungannya itu tidak terjejas.

Terbaru, wanita tersebut memaklumkan bahawa dia telah selamat melahirkan bayinya itu dan menamakannya Zayn. Bayi tersebut juga dilaporkan sihat dan tidak terkesan berikutan dengan kejadian yang menimpanya itu.

“Saya tahu anda semua pastinya risau akan bayi dalam kandungan ini, ianya adalah waktu yang amat sukar sekali, syukur bayi yang tidak bersalah ini sihat dan selamat,” katanya.

“Bayi ini merupakan satu rahmat pada saya dan saya akan menikmati waktu yang istimewa ini di rumah bersamanya sementara saya pulih,” tambahnya lagi.

Wanita tersebut pada bulan lepas menyatakan kerisauannya terhadap anaknya yang bakal membesar di dalam dunia yang penuh dengan sifat perkauman.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

Nur Farra