Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Warga Emas Berputih Mata Wang RM17,000 Dilarikan Dua Lelaki Tidak Dikenali

Kuantan : Seorang warga emas berusia 80 tahun berputih mata apabila wang RM17,000 miliknya yang baharu sahaja dikeluarkan dari bank dilarikan oleh dua lelaki yang berpura-pura meminta bantuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata ketika berada di bandar Jengka, Maran dekat sini  pada 11 pagi semalam, mangsa dihampiri oleh dua lelaki yang tidak dikenali seorang daripada mereka warga asing lalu menawarkan tiket loteri yang kononnya telah memenangi hadiah RM27,000 kepada mangsa.

Beliau berkata lelaki warga asing itu kemudian meminta mangsa meminjamkannya wang RM17,000 atas alasan sukar mengeluarkan hadiah RM27,000 itu kerana berstatus warga asing.

Katanya suspek berjanji akan memulangkan semula wang mangsa sebaik sahaja wang loteri itu diperolehi dan berjanji memberikan salinan dokumen pengenalan diri kononnya sebagai jaminan tidak berniat menipu mangsa.

”Mangsa yang termakan dengan pujukan suspek telah menaiki kereta suspek menuju ke bank bagi mengeluarkan wang simpanannya sebelum mereka ke kedai alat tulis bagi membuat salinan pasport dan kad pengenalan kedua-dua suspek,” katanya kepada sumber.

Bagaimanapun mangsa mendakwa sebaik sahaja beliau keluar dari kereta, suspek telah memecut kereta dan menghilangkan diri bersama wangnya.

Mohd Wazir berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Jengka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.