Siakap Keli
Gambar: Hishamuddin Ahmad Zaki

Lima Maut Kemalangan Di Lebuhraya PLUS

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) — Lima maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di KM427.5 Lebuhraya Plus arah selatan dari Bukit Tagar ke Bukit Beruntung dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, kereta Perodua Myvi dinaiki seorang lelaki dan empat wanita berusia 17 hingga 52 tahun dipercayai melanggar belakang sebuah lori tiga tan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan selepas kerja-kerja pemotongan dibuat dan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata 11 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 4.44 pagi.

Berikut mangsa yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Plus awal pagi tadi:

Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, (pemandu kereta)
Jamilah Jalim@Jamil, 47,
Bashirah Jalim@Jamil, 49,
Nur Intan Mohamad Rodzi, 18,
Nur Shifa Abdul Rashid, 17 tahun

Kesemua nama mangsa itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shariat.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.