Siakap Keli
Kredit Foto: yayasansabahgroup

13 Lokasi Yang Wajib Anda Lawati Jika Berkunjung Ke Sabah

Percutian bersama keluarga pastinya merupakan idaman semua orang. Banyak tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di dalam mahupun luar negara. Jangan risau jika anda tidak berkemampuan untuk berkunjung ke luar negara kerana masih banyak tempat menarik yang boleh anda kunjungi di Malaysia.

Sabah merupakan sebuah negeri yang cukup terkenal dengan keindahan alam semula jadinya terutama di pulau-pulau, pusat penjagaan hidupan liar dan kawasan taman negara yang menjanjikan keindahan hutan belantara yang pasti mengujakan anda. Selain itu negeri Sabah juga mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik yang berbeza.

Kenali tempat-tempat menarik di Sabah untuk anda kunjungi.

1. Gunung Kinabalu

Kredit Foto: wikipedia

Tarikan yang satu ini tidak asing lagi, Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia. Disebabkan statusnya, Gunung Kinabalu menjadi dambaan ramai kaki hiker yang ingin mencuba sesuatu yang ekstrem.

Bukan mudah untuk menuju ke puncaknya kerana ramai yang mencuba berpotensi untuk mengalami masalah seperti mabuk bukit, kekejangan dan lain-lain lagi yang disebabkan oleh altitud tinggi dan tahap kecuramannya.

2. Desa Dairy Farm

Kredit Foto: triphobo

Desa Dairy Farm merupakan pusat pelancongan utama di Kundasang Ranau, Sabah. Lokasi tempat ini adalah lebih kurang 6 km dari Pekan Kundasang dengan melalui Jalan Cinta Mata Mesilou. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan disini termasuklah melihat bagaimana pemprosesan susu lembu, memberi makanan kepada anak lembu dan kambing, melihat proses pemerahan susu lembu dan sebagainya.

Anda juga boleh membeli susu lembu segar dan makan makanan atau produk berasaskan susu lembu di tempat ini. Selain itu, kawasan persekitaran yang mempersona dengan udara yang segar, nyaman dan sejuk menjadikan kawasan ini menjadi daya tarikan utama di Kundasang. Yuran masuk diperlukan bagi pelawat di pintu masuk utama. Biasanya, tempat ini amat sesak terutamanya pada waktu cuti sekolah.

3. Pulau Manukan

Kredit Foto: pinterest

Pulau ini merupakan pulau ke-2 yang terbesar di Taman Marin Tunku Abdul Rahman dan ia menjadi destinasi pilihan ramai pelancong kerana tempatnya sangat tenang dengan air laut yang tenang dan sangat selamat untuk sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak.

Pulau ini jenis berhutan di mana anda boleh bersantai di bawah rimbunan pokok sambil menikmati udara segar di sini. Antara aktiviti yang terkenal di sini ialah snorkelling. Hal ini kerana kawasan laut yang dalam sedikit dan berdekatan dengan jati.

Anda juga boleh memantapkan skill berenang anda di sini dan bagi sesiapa yang tidak berapa pandai berenang anda jangan risau kerana anda akan diberikan jaket keselamatan. Pulau ini sangat sesuai bagi sesiapa yang ingin menenangkan fikiran dari kesibukan di bandar.

4. Taman Negara Kinabalu

Kredit Foto: tripadvisor

Taman Negara Kinabalu (Kinabalu Park) merupakan Taman Negara yang pertama di Malaysia dan diisytiharkan pada tahun 1964. Di taman ini terdapat pelbagai jenis hidupan flora dan fauna yang dianggarkan lebih kurang 4000 spesis kesemuanya.

Selain dapat melihat keindahan Gunung Kinabalu, pengunjung yang datang ke Taman Negara Kinabalu juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti berbasikal, memerhati pelbagai jenis burung, menaiki jambatan gantung dan lain-lain lagi.

Terdapat juga beberapa kemudahan penginapan yang tersedia berhampiran dengan kawasan Taman Negara Kinabalu bagi membolehkan pengunjung bermalam dan berehat sambil menikmati keindahan alam semulajadi di Taman Negara Kinabalu.

5. Kolam Air Panas Poring (Poring Hot Spring)

Kredit Foto: kinabaluadventures

Poring Hot Spring menawarkan beberapa aktiviti menarik untuk pelancong lakukan. Bukan hanya sekadar mandi manda di kolam air panas sahaja, pelancong juga boleh melalui canopy walk di sini untuk menikmati keindahan flora dan fauna sekeliling. Selain itu, terdapat juga air terjun untuk amndi manda, tapak bunga Raflesia, taman rama-rama, bat cave, muzium serangga dan denai-denai untuk aktiviti jungle trekking.

Bagi yang ingin mandi manda di kolam air panas dengan lebih privasi tanpa bercampur dengan pelancong lain, ada juga private pool yang boleh digunakan dengan bayaran tambahan yang berpatutan. Memang sangat best dapat mandi air kolam panas semulajadi yang berpunca dari gunung di sini dan paling penting kemudahan untuk pengunjung juga lengkap. Terdapat juga kemudahan penginapan di sini seperti Poring Hot Spring dan Nature Reserve Resort.

6. Pulau Mabul

Kredit Foto: mabul

Selain keindahan hidupan marin yang ada di sini, Pulau Mabul juga merupakan satu destinasi percutian di Sabah untuk berbulan madu yang sangat ideal kerana di sini terdapat resort mewah atas air atau dikenali dengan Mabul Water Bungalow.

Selain itu, pilihan penginapan yang ada di Pulau Mabul juga lebih banyak berbanding pulau-pulau bersempadan dengan Pulau Sipadan dan Pulau Sipadan-Kapalai.

Memandangkan kedalaman air laut di persekitaran Pulau Mabul yang boleh dikategorikan sebagai tidak terlalu dalam maka ianya sesuai untuk mereka yang baru bermula untuk berjinak dengan aktiviti scuba diving.

7. Rumah Terbalik Tamparuli

Kredit Foto: tripadvisor

Rumah terbalik ini telah menjadi tempat menarik di Sabah. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke sini mengambil masa selama 30 minit.

Bagi pelancong yang ingin ke Kundasang, rumah terbalik ini harus dilawati kerana berada di tepi jalan ke Kundasang. Kedudukannya yang strategik memudahkan para pelancong untuk datang ke sini. Sudah pasti pengalaman baharu akan anda perolehi apabila berada di sini.

Keunikan dan menariknya Rumah Terbalik Tamparuli ini adalah semua yang ada di dalam rumah adalah di susun secara terbalik, dapur terbalik, katil, television, kereta, pasu bunga pun tergantung dengan terbalik. Aktiviti terbaru di sini terdapat 3D Museum dengan pelbagai latar belakang yang cantik dan nampak real bila anda bergambar.

Di tempat lain sukar untuk anda melihat semua benda berada dalam keadaan terbalik. Datanglah ke sini bagi melihat sendiri keunikkan susun atur rumah yang pasti mengujakan anda.

8. Sepilok Orangutan Rehabilitation Centre

Kredit Foto: orangutanappeal.org.uk

Merupakan pusat pembelajaran yang sangat ideal untuk mengenali flora dan fauna di Sabah. Selain melawat pusat pemuliharaan orang utan di sini, pelancong juga boleh melakukan aktiviti seperti canopy walk, memerhati burung dan melihat pokok-pokok hutan hujan tropika.

Canopy walk di sini merupakan antara yang terbaik yang ada di Sabah dan ada yang setinggi 30 meter, sama ada dengan ketinggian puncak pokok. Pengunjung boleh mendengar kicauan burung dan bunyi-bunyian hutan yang pasti memberi satu pengalaman yang mengasyikkan terutama pada waktu pagi.

Pelancong juga dapat menikmati keindahan alam pada waktu malam di sini tetapi perlu buat tempahan awal. 1 hingga 2 jam menghabiskan masa di sini mungkin tidak cukup untuk anda terokai ke semua tarikan yang ada di RDC. Satu tempat menarik di Sabah yang paling tepat untuk para pelancong menerokai dan mendekati hidupan liar di Borneo.

9. Spa Ikan di Sungai Moroli

Kredit Foto: cuti-cutimalaysia

Spa Ikan Tagal yang popular ini terletak lebih kurang 25Km dari pekan Ranau. Aktiviti menarik disini ialah merendam kaki dan memberi makan ikan pelian. Ikan-ikan tagal disini dilatih oleh orang kampung dengan membuat urutan dan mengigit sel-sel mati dari kulit. Dikatakan juga membuat spa urutan ikan ini dapat membantu melembutkan kulit dan masalah psoriasis.

Terdapat juga kedai cenderamata, gerai-gerai yang menjual makanan dan minuman disini untuk mengisi perut yang lapar. Bagi yang belum pernah melalui jambatan gantung juga boleh merasainya disini. Tiket untuk merendam kaki adalah Rm5.00 untuk dewasa ( 13tahun keatas), Rm2.00 untuk kanak-kanak (6-12tahun). Tiket untuk berendam seluruh badan Rm10.00 untuk dewasa dan juga kanak-kanak. Manakala, Tiket untuk pelancong luar negara merendam kaki Rm10.00 untuk dewasa, Rm6.00 untuk kanak-kanak. Dan berendam seluruh badan pula Rm25.00.

10. Arnab Village Ranau

Kredit Foto: infosantai

Arnab Village Ranau yang diasaskan oleh tuan Jubair Juhinin juga merupakan salah satu tempat yang menarik bagi pencinta haiwan. Taman arnab ini terletak lebih kurang 10 kilometer dari Pekan Kundasang iaitu terletak di perantaraan jalan Kundasang, Ranau.

Simpang masuk ke taman arnab ataupun Arnab Village adalah di Jalan Kibas Mohimboyon. Di tempat ini, anda boleh menyentuh, mengusap dan mendukung arnab tanpa masa yang ditetapkan.

Anda juga boleh memberikan makanan kepada arnab dengan syarat membeli makanan khas yang dijual di kaunter pendaftaran. Anda juga boleh menginap di kawasan ini kerana Arnab Village Kundasang juga menyediakan tempat penginapan berbentuk homestay dengan kadar harga yang sangat berpatutan.

11. Pasar Malam Kota Kinabalu (Pasar Malam Sinsuran)

Kredit Foto: banihassim

Seperti yang kita ketahui, persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu memang kaya dengan sumber makanan laut yang boleh didapati pada harga yang sangat berpatutan. Salah satu tempat menarik di Kota Kinabalu pada waktu malam untuk anda mencari makanan laut yang murah adalah di beberapa lokasi pasar malam, contohnya pasar malam Sinsuran. Pasar malam Sinsuran mempunyai begitu banyak gerai-gerai yang menjual makanan berasakan seafood yang dibakar dan bergoreng.

Kalau anda mencari menu santai popular di Kota Kinabalu seperti grilled chicken wing dan rumpai laut, disinilah destinasi yang terbaik. Harga untuk makanan laut yang kita anggap mewah di tempat lain seperti lobster, ketam dan udang juga sangat berpatutan di sini.

Suasana di pasar malam yang popular di Kota Kinabalu ini memang sangat meriah dengan telatah pengunjung da penjual dengan aktiviti jual beli dan tawar menawarnya. Lokasi Pasar Malam Sinsuran juga sangat mudah diakses dari kebanyakan hotel popular sekitar bandar Kota Kinabalu hanya dengan berjalan kaki.

12. Pasar Filipino

Kredit Foto: triphobo

Sangat sinonim di kalangan pelancong luar sebagai destinasi untuk membeli barangan kraftangan atau cenderahati seperti mutiara, hiasan dalaman, keychain, aksesori wanita dan juga tempat untuk membeli produk laut kering seperti ikan masin atau kuih cincin.

Pada waktu malam di sekitar Pasar Filipino ini terkenal dengan gerai-gerai makanan laut yang murah dan segar-segar. Bagi golongan wanita pula, destinasi ini mungkin boleh anda habiskan masa sehingga 2 atau 3 jam.

13. Sabah Indoor Climbing

Kredit Foto: haisiang84

Bagi yang sukakan aktiviti yang agak lasak, bplehlah mencuba memanjat dinding atau dipanggil abseiling di sini. Sesuai untuk mereka yang masih baru bermula untuk lakukan aktiviti ini. ianya yang sangat seronok untuk menghabiskan masa yang berkualiti bersama-sama rakan adik beradik yang lain.

Pengunjung tidak perlu risau jika anda baru berjinak-jinak dengan aktiviti ini kerana terdapat staff dan instruktor yang akan memberi tunjuk ajar secara profesional.

Sumber: caridestinasi, Milas Travel & Tours

Siti Natrah Jusof