Siakap Keli

Bekalan Air Bersih Kepada 1.5 Juta Penduduk Selangor Mulai Malam Ini – SPAN

PUTRAJAYA, 23 Dis (Bernama) — Bekalan air bersih akan mula disalurkan secara berperingkat kepada 1.5 juta penduduk di Selangor pada selewat-lewatnya malam ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

Katanya pihak Air Selangor menyatakan kerja mengepam  air ke dalam loji telah bermula pada 1 tengah hari tadi bagi menstabilkan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan selepas itu air akan disalurkan kepada premis-premis pengguna terlibat.

“Jadi pada malam ini, air sepatutnya sudah mula disalurkan dan keluar secara berperingkat. Harapannya, dalam tempoh tiga hari, seluruh negeri Selangor akan dapat bekalan air sepenuhnya,” katanya dalam sidang media berhubung penutupan LRA Sungai Semenyih ekoran pencemaran bau, di sini hari ini.

Pencemaran bau air dilaporkan berlaku di Bandar Bukit Mahkota, Bangi yang terletak berhampiran loji kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Charles berkata siasatan mendapati kira-kira 50 meter padu sisa haram, telah mencemarkan sistem air sedia ada, disebabkan pembuangan sisa haram seperti minyak hitam, sisa lemak yang digunakan untuk makanan dan sisa industri.

Oleh itu, SPAN telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau restoran dan kedai makan, sama ada mereka menggunakan sistem gris atau perangkap minyak selain memantau pihak industri.

“Ini penting kerana kita dapati dalam lurang ada sisa lemak dari restoran. Kita minta PBT supaya pantau dan restoran yang didapati tidak guna gris atau perangkap minyak, akan dikenakan kompaun atau diminta mendapatkan perangkap minyak,” katanya.

Charles berkata tindakan susulan akan meminta IWK bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar untuk mengemukakan cadangan menaik taraf kawasan di loji rawatan air, menutup lurang dengan plug dan pemantauan 24 jam di kawasan loji.

“Kita telah minta IWK beri satu cadangan, supaya masalah ini tidak berulang kerana kawasan telah digunakan dua kali untuk mencemarkan air di Selangor. Oleh itu kita ambil isu ini serius dan saya memberi jaminan kalau IWK atau Air Selangor tidak mengikut pelan yang dibincangkan, SPAN akan ambil tindakan serius,” katanya.

Charles berkata SPAN telah membuat laporan polis semalam berkait insiden ini, selepas netizen telah menyuarakan pendapat insiden tersebut kemungkinan angkara sabotaj, kerana kejadian yang sama berlaku dua kali di tempat yang sama.

Beliau berkata juga dicadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan menggunakan sensor di lurang, supaya aktiviti haram akan dikesan IWK dan Air Selangor.

“Ini akan dihalusi dan cadangan tersebut akan dikemukakan kepada SPAN dalam dua tiga hari ini, supaya SPAN boleh membuat keputusan dan meminta peruntukan dari kerajaan untuk menaik taraf,” katanya.

Charles berkata SPAN juga akan mencadangkan kepada kerajaan untuk aktif semula ‘off-river storage’, supaya bekalan air bersih dapat disalurkan kepada pengguna, sekiranya berlakunya pencemaran di masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Agihan Pengurusan Air Selangor, Siew Kelvin menggesa orang awam memaklumkan sebarang aktiviti pelepasan sisa secara haram, dan beliau akan mengemukakan kepada pihak pengurusan untuk memberikan ganjaran setimpal, kepada sesiapa yang memberi bukti dalam bentuk video dan gambar.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.