Siakap Keli
Kredit: Stepfeed/Google

Sakit Tak Tahu Punca, Rupanya Anak Ketam Masuk Telinga Lepas Bercuti Di Pantai

Niat nak bergembira di pantai, tapi lain pula jadinya. Seorang lelaki berusia 38 tahun melalui detik menyakitkan apabila telinganya bengkak setelah ‘dicerobohi’ seekor haiwan tidak diundang.

Pada November lalu, lelaki berkenaan telah bercuti di salah satu pantai di Dubai bersama beberapa orang rakannya. Di sana, dia dapat rasakan sesuatu memasuki telinga kanannya namun tidak menyangka ia seekor anak ketam.

“Saya berada di pantai ketika tiba-tiba saya rasa sesuatu memasuki telinga saya. Saya tak tahu apa, tapi rasa rimas,” kata lelaki berkenaan kepada Khaleej Times.

“Tak pernah fikir rupanya ia seekor ketam,” tambahnya lagi.

Sejam kemudian, dia berasa amat tidak selesa dan cuba mencari punca kesakitan anggota tersebut namun tidak menemui jawapan.

Lelaki itu akhirnya bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan. Melalui prosedur endoskopi, akhirnya mereka menemui seekor anak ketam sesat yang tersekat pada telinga setelah lubang telinga lelaki itu membengkak.

Anak ketam tersebut berjaya dikeluarkan dalam keadaan masih hidup.

“Risiko untuk bendasing masuk ke dalam badan kita melalui telinga, hidung atau mulut sentiasa ada ketika sedang mandi di laut atau bersantai di pantai,” kata Dr Prabir Paul, Pakar Otorinolaringologi di salah satu pusat perubatan di Abu Dhabi.

Beliau turut memesan agar tidak cuba mengeluarkan sebarang bendasing sendiri, sebaliknya merujuk fasiliti perubatan terdekat.

“Cubaan mengeluarkan bendasing mungkin boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti pendarahan atau kerosakan organ,” tambahnya lagi.

Sumber: StepFeed

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.