Siakap Keli

(Video) Hospital Swasta Di Ampang Dilanda Banjir Kilat

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) — Hujan lebat lebih dua jam petang tadi menyebabkan berlakunya banjir kilat di sebuah hospital swasta di Ampang, dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Mohd Zaid Hassan berkata kawasan tempat letak kereta di hospital berkenaan dinaiki air pada kira-kira 5 petang.

“Air surut beberapa jam kemudian, tiada laporan dibuat pihak hospital setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata anggota polis turut ditugaskan ke tempat kejadian untuk memantau situasi banjir.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 1 minit 58 saat dipercayai memaparkan kawasan hospital itu dinaiki air tular di laman sosial.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor memaklumkan berlaku kejadian tanah runtuh berhampiran dua buah rumah di Jalan Lee Woon, Taman Zoo View, Ampang, kira-kira 6 petang tadi.

“Tiada mangsa yang cedera dalam insiden ini, namun salah sebuah rumah didapati retak ekoran pergerakan tanah,” katanya dan menambah penghuni rumah berkenaan telah diarahkan keluar ke kawasan yang selamat.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.