Siakap Keli

Kanak-Kanak Lelaki Enam Tahun Maut Dirempuh MPV

KANGAR, 24 Dis (Bernama) — Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala bapa saudara dan sepupunya mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 13, Jalan Kangar-Alor Setar berhadapan sebuah stesen minyak di Simpang Empat, Kangar, hari ini.

Mangsa yang maut, Irfan Zahran Mohammad Yazid, 6, dari Kuala Perlis meninggal di tempat kejadian, manakala bapa saudaranya  Rosli Hussin, 45, dan anak lelaki Rosli, Muhammad Muhaimin, 6, dari Simpang Empat mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Wari Kiew berkata dalam kejadian 5.05 petang itu, mangsa dalam perjalanan dari Kampung Bunga Emas hendak keluar ke jalan utama menghala ke Jalan Kangar-Alor Setar apabila dirempuh MPV itu dari sebelah kiri jalan utama dan turut melanggar tiang elektrik sehingga patah.

“Semasa kejadian didapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun yang hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sehingga merempuh motosikal berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata pemandu dan empat penumpang MPV jenis Toyota Estima terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa kini masih dirawat di Unit Kecemasan HTF,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih disiasat.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.