Siakap Keli

10 Petua Untuk Dapur Anda Berada Dalam Keadaan Terkawal

Kebanyakan wanita-wanita yang bergelar suri rumah pastinya tidak akan sah jika tidak menghabiskan masa di dapur. Dapur adalah suatu tempat di dalam rumah yang digunakan untuk memasak, makan dan sebagainya.

Justeru, segala benda yang berada di dapur pastinya perlu berada dalam keadaan yang sempurna serta bersih kerana ianya adalah suatu tempat yang sering digunakan seisi rumah.

Seorang pengguna Facebook yang bernama Puteri Haslina ada berkongsikan sedikit petua-petua untuk kegunaan di bahagian dapur. Bagi mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

1. Mengharumkan dapur

Gambar hiasan

Jika dapur anda berbau kurang menyenangkan seperti hanyir, rebus beberapa keping kulit kayu manis, bunga cengkih dan cuka biasa. Kemudian sembur atau lap air rebusan itu pada kabinet, jubin dan sekitar dapur.

2. Membersihkan minyak goreng

Gambar hiasan

Kebiasaannya, minyak menjadi hitam selepas digunakan. Jadi untuk menghilangkannya, ambil beberapa keping asam gelugur dan masukkan ke dalam kuali bersama bahan goreng anda. Asam tadi akan menyerap hitam yang ada di dalam minyak dan hasilnya, anda dapat mengguna minyak itu beberapa kali. Selain asam gelugur, anda juga boleh gunakan halia yang dihiris nipis.

3. Membersihkan kesan hangus

Gambar hiasan

Campurkan sedikit serbuk penaik bersama sedikit air di dalam sebuah bekas. Biarkan selama beberapa jam dan anda boleh guna air campuran itu untuk membersih periuk atau kuali seperti biasa.

4. Menghilangkan bau cili pada mesin pengisar

Gambar hiasan

Bau cili sukar untuk dihilangkan walaupun dibersih menggunakan sabun. Apa kata kali ini anda cuba hilangkannya dengan mengisar beberapa keping biskut selama beberapa minit. Biskut ini akan menyerap semua bau cili tadi.

5. Elak semut di dalam gula

Gambar hiasan

Kita sering berhadapan dengan masalah semut di dalam gula. Bagi mengelakkannya, anda boleh sapu minyak masak pada sekeliling permukaan bekas untuk menghalang semut masuk ke dalamnya. Anda juga boleh masukkan beberapa batang kulit kayu manis atau bunga cengkih ke dalam bekas gula.

6. Pisau mesin pengisar kembali tajam

Gambar hiasan

Kisar satu cawan garam kasar sehingga halus. Pisau yang tumpul akan kembali tajam.

7. Menghilangkan kesan minyak di dapur

Gambar hiasan

Sewaktu menggoreng, minyak akan tepercik ke seluruh kawasan terutama lantai. Membersihkannya cukup mudah jika betul caranya. Tabur tepung gandum secukupnya pada lantai yang terkena minyak. Kemudian, cuci menggunakan air sabun dan lap sehingga kering. Kesan licin akan hilang.

8. Mengelakkan kuali melekat

Gambar hiasan

Selepas memasak atau menumis, masukkan semangkuk air biasa ke dalam kuali. Masak air sehingga mendidih. Selepas itu, basuh kuali seperti biasa.

9. Menghalau tikus

Gambar hiasan

Letak beberapa helai daun durian belanda di kawasan yang ada tikus. Selepas beberapa hari, tikus tiada lagi.

10. Menghalau lalat

Gambar hiasan

Masalah lalat di dapur mampu mengganggu kerja-kerja memasak. Untuk menghalaunya, anda perlu menitiskan sedikit cecair peluntur ke atas kain yang kering. Kemudian lap sekitar dapur terutama pada permukaan meja, kabinet dapur dan tempat-tempat lain menggunakan kain itu.

Sumber: Puteri Haslina

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.