Siakap Keli
Kredit Foto: TheSunDaily

Buaya Ditemui Di Pantai Tanjung Kubong Berjaya Ditangkap

Seekor buaya sepanjang sembilan kaki yang berjaya ditangkap di Pantai Tanjung Kubong, berhampiran sebuah tapak bersejarah ‘Gedung Ubat’ di sini semalam, telah diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Labuan.

Perhilitan percaya buaya itu tersasar dari habitatnya di Taman Paya Bakau Kina Benuwa, sebelum ia ditemui seorang pemancing yang sedang dalam perjalanan keluar ke laut, pada jam 6.50 pagi.

Penemuan (Rabu pagi) itu telah menjadi viral pada platform WhatsApp dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan (Balai Bomba Layang-Layangan) berjaya menangkapnya pada 2.18 petang dan menyerahkan kepada pegawai Perhilitan yang turut menyertai operasi menangkap buaya tersebut.

“Buaya itu mungkin sedang berjemur di pantai ataupun mencari makanan ketika ia dilihat di situ dan mungkin ia buaya yang sama yang sebelum ini dilihat di Taman Paya Bakau Kina Benuwa pertengahan tahun ini.

“Kami akan menaikkan papan tanda amaran di kawasan pantai berhampiran bagi mengingatkan pengunjung mengenai kemunculan dan kawasan yang menjadi habitat baharu buaya di situ,” kata pegawai Perhilitan kepada Bernama.

Penemuan buaya semalam itu, merupakan penemuan buaya buat kali ketiga tahun ini, dengan kali pertamanya pada Januari di Pantai Mawila.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story