Siakap Keli

Motosikal Penduduk Hilang, Tok Batin Guna Duit Elaun Bulanan Belikan Motosikal Baru

Menjadi seorang ketua memerlukan pelbagai pengorbanan yang besar termasuk meluangkan masa mendengar rintihan anak buah, mendekati golongan-golongan yang memerlukan serta pandai menguruskan masalah.

Seperti kisah yang tular di laman Facebook ini, seorang tok batin sanggup membeli motosikal kepada salah seorang penduduknya kerana tidak mahu individu tersebut ditahan kerana didakwa mencuri motosikal.

Kredit Foto: Tok Janggut Puthih

Dalam sebuah kejadian yang berlaku pada awal Disember lalu, salah seorang penduduk kampung itu menggunakan motosikal seorang penduduk kerana mahu mengambil gaji daripada majikan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut tok batin Kampung Orang Asli Ulu Gerik, Bili Jali, lelaki tersebut meninggalkan motosikal itu di satu tempat sebelum pulang menaiki bas kerana tidak tahu jalan balik.

Setelah kembali ke tempat itu bersama pemilik motosikal berkenaan, motosikal itu didapati telah tiada.

Sebagai tok batin, Bili berasa bertanggungjawab untuk menggantikan semula motosikal yang hilang itu.

Bili membeli sebuah motosikal Honda EX5 yang terpakai dengan harga RM3,800.

Kredit Foto: Tok Janggut Puthih

Duit dikumpul bersama adik beradik dan menggunakan elaun ketua kampung untuk membeli motosikal tersebut.

Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Hal Ehwal Orang Asli, Mohd Saad Ismail berkata, tindakan dilakukan tok batin tersebut wajar dijadikan contoh kepada pemimpin masyarakat lain.

Kisah Bili dikongsi menerusi Facebook Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu yang menganggapnya sebagai ‘hero’ masyarakat.

Kebanyakan netizen memberikan pelbagai reaksi, mereka memuji sikap tanggungjawab tok batin tersebut.

Sumber: Sinar Harian, Tok Janggut Puthih

Sofea

There's always another side to every story

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)