Siakap Keli

”Rusa Jadi Panik & Berkumpul, Monyet & Ular Hanya Berdiam Diri”, Gerhana Matahari Buat Sikap Haiwan Di Zoo Berubah

Gerhana Matahari Cincin yang terjadi pada hari ini didakwa turut mempengaruhi perilaku haiwan.

Menurut pemerhatian yang dibuat oleh sekumpulan pelajar dari Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke atas reaksi haiwan yang berada di Zoo Johor, sekumpulan rusa didapati duduk secara berkawanan semasa fenomena gerhana matahari itu berlaku berbanding sebelumnya.

“Ular menjadi pilihan untuk dilakukan pemerhatian kerana sifat haiwan itu yang sensitif terhadap perubahan alam. Berdasarkan pemerhatian, haiwan itu bergerak sekali sekala sebelum waktu kemuncak gerhana dan tidak bergerak pada waktu kemuncak.

Monyet pula dilihat agresif pada sebelah pagi tadi sebelum diam pada waktu kemuncak gerhana,” kata Nur Rabiatuadawiyah Baharul Azidi, 25, yang merupakan salah seorang pelajar yang terlibat dalam pemerhatian itu.

Kesemua pelajar tersebut memulakan pemerhatian mereka pada pukul 9 pagi dan kemudiannya menumpukan perilaku haiwan semasa kemuncak gerhana kira-kira 1.20 tengah hari sehinggalah gerhana tersebut berakhir pada 3.20 petang. Pemerhatian tersebut ditumpukan kepada haiwan jenis mamalia dan reptilia iaitu sekumpulan rusa, seladang, ular, gajah, harimau, singa serta monyet.

Selain menumpukan terhadap perilaku haiwan itu, mereka juga turut merekodkan kelajuan angin dan suhu dengan menggunakan alat anemometer.

Pemerhatian tersebut dibuat di bawah kendalian pensyarah kanan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM Dr Othman Zainon menerusi subjek Falak Syarie.

“Seorang daripada kami ditugaskan memerhati pergerakan dan tindak balas sekumpulan rusa dan seekor seladang. Dua orang memerhati dua ekor ular sawa batik, dua ekor ular sawa albino serta seekor ular tedung selar manakala dua lagi memerhati dua ekor gajah, beberapa ekor harimau, singa dan monyet,” kata  Nur Rabiatuadawiyah yang ditemui di zoo berkenaan.

Dalam pada itu, Othman yang dihubungi Bernama menyatakan bahawa sebelum ini pemerhatian yang sama terhadap sekumpulan rusa ketika berlakunya Gerhana Matahari Separa di universiti tersebut pernah dilakukan pada 9 Mac 2016 lalu.

“Ketika kemuncak Gerhana Matahari Separa itu, sekumpulan rusa didapati panik dan berada dalam kumpulan kawanan mereka.

“Jadi, kali ini kita mahu melihat perilaku yang sama atau sebaliknya ketika berlakunya Gerhana Matahari Cincin ini,” katanya yang berada di Tanjung Piai bagi menyaksikan fenomena tersebut hari ini.

Baca: Nak Beli Cash Tak Mampu, Huawei Wujudkan Skim Bayaran Ansuran 0% Interest Untuk Pelajar Beli Gadgetnya

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.