Siakap Keli
Gambar : Bloomberg

Angka Korban Nahas ‘Bek Air’ Meningkat Kepada 14 Orang, 35 Cedera

Almaty : Angka korban nahas penerbangan Bek Air pada Jumaat dekat Almaty, Kazakhstan meningkat kepada 14 orang dan 35 lagi cedera, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan pegawai.

Sebelum ini, pegawai Kementerian Dalam Negeri berkata, sembilan maut dan sembilan lagi cedera dalam nahas tersebut yang berlaku sejurus pesawat malang itu berlepas.

“14 orang maut di tempat kejadian,” kata pegawai pentadbiran bandar raya itu dalam kenyataan.

Pihak berkuasa berkata seramai 35 orang dikejarkan ke beberapa hospital.

Senarai mereka yang cedera termasuk lapan kanak-kanak dan 22 orang lagi dalam keadaan kritikal.

Menurut Kementerian Industri dan Pembangunan Infrastruktur, jet itu menjunam sejurus selepas berlepas sebelum melanggar penghadang konkrit lalu terhempas ke atas bangunan dua tingkat pada jam 7.22 pagi waktu tempatan.

Kerajaan Kazakhstan sudah pun membentuk suruhanjaya khas untuk menyiasat kejadian.

“Anggota suruhanjaya itu sudah dikejarkan ke lokasi nahas bagi menyiasat punca kejadian. Semua penerbangan membabitkan pesawat model sama, akan digantung sehingga siasatan punca nahas selesai,” kata kementerian itu.

Penerbangan Bek Air menggunakan pesawat Fokker-100 untuk laluan Almaty-Nur-Sultan.

Menurut lapangan terbang Almaty, ketika kejadian terdapat 95 penumpang dan lima anak kapal dalam pesawat yang terhempas itu.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.