Gambar sekadar hiasan

FAMA Jangka Bekalan Bawang Merah India Pulih Febuari

Bukit Mertajam : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjangkakan bekalan bawang merah India yang berkurangan sehingga berlaku kenaikan harga di negara ini pulih menjelang Februari tahun depan.

Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata krisis kekurangan bekalan bawang India itu berlaku sejak tiga bulan lepas berikutan banjir di negara berkenaan dan pihaknya telah mengambil beberapa langkah segera sebelum ini dengan mengimport bawang merah dari negara lain seperti China, Pakistan dan Mesir sebanyak 106,395 tan metrik.

“Kita import 60 peratus bekalan bawang merah dari beberapa negara untuk memenuhi keperluan dan permintaan di Malaysia. Daripada jumlah import itu 70 peratus dari India tetapi negara tersebut telah melarang sepenuhnya eksport (bawang merah) kerana mereka juga mengalami kekurangan yang teruk akibat banjir.”

Beliau berkata demikian kepada sumber selepas Program Bazar Peduli Rakyat di Kampung Pelet, di sini hari ini yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

Menurut laporan media, sebelum ini harga bagi sekilogram bawang merah adalah RM4, namun bahan itu kini dijual pada harga RM12 sekilogram.

Mengulas lanjut, Ishak berkata fenomena kenaikan harga bawang merah itu hanya sementara sahaja dan beliau mencadangkan pengguna membeli bekalan bahan mentah tersebut di outlet FAMA, pasar tani anjuran FAMA, Bazar Peduli Rakyat dan MyBest kerana lebih murah lima hingga 20 peratus.

Sementara itu, Ishak berkata FAMA bercadang untuk mewujudkan Bazar Peduli Rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri terutama di kawasan luar bandar di seluruh negara pada tahun depan bagi membantu orang ramai membeli keperluan harian dengan harga lebih murah.

Menurutnya, bazar yang menjual pelbagai produk pertanian, ikan dan ayam itu juga bagi membantu orang ramai menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat serta ia juga peluang dan ruang untuk usahawan tempatan menambah pendapatan mereka.

“Sepanjang tahun ini, 18 lokasi tetap dan bermusim di seluruh negara telah mengadakan Bazar Peduli Rakyat membabitkan 68,373 pengunjung dan 618 usahawan. Jumlah nilai jualan yang berjaya dikutip sepanjang tempoh itu sebanyak RM1.026 juta dengan nilai penjimatan pengunjung RM133,328,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my