Cahaya warna-warni memeriahkan langit malam bagi warga Putrajaya. Acara Light and Motion Putrajaya 2019 akan bermula hari ini hingga ambang tahun baharu pada 31 Disember.
Penganjuran yang masuk kali ketujuh ini telah membawa membaharuan yang berbeza dengan sebelumnya.
Kali ini bertemakan “Kepelbagaian Malaysia”, Lampu 2019 bakal membawa pengunjung menelusuri sejarah dan kejayaan yang ditempa negara hingga memasuki era 2020.
Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim, sebanyak 22 tarikan utama disediakan sepanjang empat hari Lampu berlangsung.
“Kita (Perbadanan Putrajaya) banyak menyediakan pencahayaan berbentuk Geometri pada tahun lalu, tetapi kali ini kita bawakan pencahayaan yang membawa tema keunikan kebudayaan di Malaysia.
Antara tarikan terbaharu, Planetarium 360 yang menyediakan permainan interaksi berasaskan lampu bagi pelbagai lapisan umur.
Lebih 1,000 menu juadah turut disediakan dengan lebih 100 gerai dibuka kepada semua pengunjung.
Persembahan tarian singa, bangra, silat dan zapin turut dapat disaksikan oleh pengunjung sepanjang Lampu berlangsung.
Di ambang tahun baru pula, pertunjukan bunga api akan menerangi langit Putrajaya.
Lampu 2019 akan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Kalid Samad hari ini.
Sumber: Awani