Siakap Keli
Foto: Bernama

Rakan Sebaya Ambil PT3, Remaja Genius Dari Terengganu Ini Dah Buat Kajian ‘Level’ PhD Di Jerman

Ketika rakan-rakan yang lain baru sahaja menerima keputusan Penilaian PT3, remaja pintar Terengganu ini sudah menjalankan kajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di sebuah universiti di Jerman.

Mempunyai pemikiran seperti orang dewasa berusia 24 tahun, Muhammad Amir Rafiq, 15 bertuah untuk dipilih melanjutkan pengajian penyelidikan dalam Teori Komputer Teoritikal.

“Saya berminat dengan sains komputer sejak berusia 12 tahun lagi. bagi saya bidang ini sangat mencabar tapi menyeronokan. Sebab itu saya memilih untuk mengkaji lebih dalam bidang ini.”

“Bernasib baik Universiti Leibniz terima penyelidik bawah umur seperti saya. Mereka tidak kisah saya belum mempunyai sebarang ijazah kerana apa yang penting bagi mereka adalah kajian yang saya sedang lakukan itu,” jelasnya pada Bernama. 

Pelajar Kolej Genius@Pintar Negara itu ditemui pada Seminar Penyelidikan Untuk Anak-Anak Genius Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus hari ini.

Seminar yang menghimpunkan kira-kira 70 remaja pintar dari Terengganu itu, diadakan bagi memberi pendedahan dan menggalakkan mereka untuk lebih banyak menjalankan kajian dan penyelidikan, khususnya berkaitan Terengganu.

Antara pencapaian terbaik Muhammad Amir Rafiq…

Pernah dipilih untuk mewakili Malaysia dan peserta termuda dalam ‘The 2019 International Philosophy Olypaid’ di Rom, Itali.

Anak sulung daripada dua beradik itu bercadang untuk mengambil peperiksaan peringkat A-Level dan akan memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda di mana-mana universiti di Amerika Syarikat tahun hadapan.

Ketika ditanya mengenai kehidupannya sebagai seorang yang pintar, Muhammad Amir Rafiq berkata, dia menganggap kebolehan berfikirnya itu sebagai satu anugerah Tuhan, yang akan memberi manfaat bukan setakat untuk diri sendiri malah kepada masyarakat juga.

“Antara kenangan semasa kecil yang saya masih ingat adalah ketika berusia empat tahun, saya suka membaca ensiklopedia perubatan milik datuk saya.”

“Saya juga mempunyai kelebihan untuk ‘scan’ dan ingat setiap fakta yang dibaca,” katanya.

Dalam pada itu, bapanya, Mohd Rafee, 50, berkata, dia mula mengesan kelebihan anaknya itu ketika Muhammad Amir Rafiq boleh membaca dan menulis apabila baru berusia tiga tahun.

“Ketika dia berusia dua tahun setengah saya ajar dia ABC hanya sekali sahaja. Esoknya dia terus tahu dan ingat semua abjad dari A hingga Z. Dari situ saya nampak anak saya ini ada kelebihan jadi saya hanya pantau dia.”

“Dia juga mampu ‘troubleshoot’ komputer seawal usia lima tahun. Tetapi agak memerlukan kos yang tinggi kerana dia tidak bermain mainan seperti kanak-kanak lain. Dia hanya baca buku dan bermain dengan gajet,” katanya yang bekerja sendiri.

Namun ibunya, Azriza Abd Latif, 43, yang merupakan pekerja swasta, mengakui anaknya itu mempunyai kelemahan terutama melibatkan kemahiran insani (soft skills) seperti kemahiran berkomunikasi dan pergaulan sesama rakan sebayanya.

“Perkara teknikal memang sekali cakap sahaja dia ingat. Apabila membabitkan ‘soft skills’ seperti perlu bersalaman dengan orang, kita kena ingatkan dia banyak kali.”

“Dia juga kurang kawan yang sebaya dengannya kerana pemikiran dia yang lapan atau sembilan tahun lebih dewasa. Jadi kami perlu sentiasa pantau dia,” katanya.

Selain itu, adik Muhammad Amir Rafiq, Aina Batrisyia, 13, turut mempunyai kelebihan pemikiran lima tahun lebih ke hadapan dari usia sebenarnya dan juga merupakan pelajar di Kolej Genius@Pintar Negara.

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)