Siakap Keli

Wisma Putra Bantu Bawa Pulang Remaja Maut Di Australia

Gambar : amp.9news.com

Kuantan : Wisma Putra akan membantu membawa pulang remaja dari daerah ini, yang maut semasa bermain papan luncur di Townsville, Queensland, Australia semalam.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada keluarga mangsa terlibat, sama ada mahu membawa pulang atau mengebumikan jenazah di negara berkenaan.

“Urusan membawa balik sudah pasti melibatkan kos dan kementerian akan cuba membantu memudahkan urusan. Jika waris memilih dikebumikan di sana, pegawai kita di sana akan cuba bantu ia dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya. 

“Kita berharap keluarga dan waris mangsa terlibat dapat berhubung dengan pegawai Wisma Putra secepat mungkin supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan dengan segera,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di Program Kembali ke Sekolah 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Indera Mahkota di sini hari ini, melibatkan 260 pelajar.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media Australia mengenai kematian remaja itu yang dikatakan terlanggar tiang semasa bermain papan luncur ketika sedang bercuti dengan keluarganya di sana.

Pada perkembangan berasingan, Saifuddin juga berkata pihaknya akan membantu dalam urusan lima warga Malaysia yang cedera akibat kemalangan jalan raya di Kaherah, Mesir yang juga dilaporkan berlaku semalam.

Beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil insurans sebelum ke luar negara sebagai langkah berjaga-jaga jika berlaku kejadian tidak diingini supaya tidak timbul masalah seperti kos rawatan dan sebagainya.

“Dalam kes yang melibatkan kecederaan, lazimnya wakil kita akan membantu untuk mendapatkan rawatan di hospital yang percuma jika ada, atau di tempat yang bayarannya tidak terlalu mahal. 

“Kita juga boleh membantu untuk mendapatkan tiket kapal terbang untuk pulang dengan segera, namun kita tidak akan membiayai tiket tersebut,” katanya.

Selain itu, Saifuddin juga memaklumkan kerajaan melantik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) bagi mengkaji dan mengesahkan laporan berita berhubung masyarakat Uyghur di Xinjiang, China.

“Kita mengambil pendirian berhati-hati dalam menilai semua laporan yang diterima daripada pelbagai pihak. Pada pertemuan saya dengan Menteri Luar China Wang Yi, saya memaklumkan kita ambil pendekatan peradaban dalam hal ini.

“Malaysia bukan dalam senarai negara yang menyokong saja laporan  disediakan kerajaan China dan dalam masa sama, kita juga tidak dalam kumpulan negara yang mengkritik China secara terbuka. Ini kerana kita mahu pastikan kebenaran laporan yang kita baca dan terima,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.