SEREMBAN, 30 Dis (bernama) — Sebanyak 3,537 notis amaran dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan terhadap pemilik premis makanan dan perokok bagi tempoh Januari sehingga Sabtu lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 394 notis amaran dikeluarkan terhadap perokok yang merokok di premis makananan manakala 3,016 notis amaran diberikan kepada pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok.
“Sementara sebanyak 127 notis amaran diberikan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal memastikan orang tidak merokok di dalam premis mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya penguatkuasaan terhadap larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan 11 (1) (d) PPKHT 2004 akan dilaksanakan sepenuhnya dengan mengeluarkan notis memerintahkan kehadiran ke mahkamah terhadap perokok berkuat kuasa 1 Jan ini.
“Kegagalan mematuhi peraturan (larangan merokok) ini merupakan suatu kesalahan, boleh didakwa di mahkamah dan apabila disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.
Sumber: BERNAMA