Seramai 13 penghuni asrama induksi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang dilaporkan telah melarikan diri dari pusat berkenaan, awal pagi tadi.
Operasi mengesan mereka telah dilakukan oleh Polis Kuantan setelah kehilangan kesemua mereka disedari kakitangan bertugas selepas tiada di asrama, ketika sesi roll call kira-kira jam 5.30 pagi.
Menurut sumber, Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, mereka dipercayai melarikan diri pada jam 2 pagi dan hanya disedari hampir tiga jam kemudian.
Hasil siasatan awal polis, kesemua pelatih berusia 19 hingga 25 tahun itu telah merancang untuk melarikan diri berdasarkan penemuan lakaran kedudukan asrama dan pagar serta laluan di kawasan itu.
Manakala, salah seorang daripada mereka telah disyaki polis menjadi perancang utama kejadian itu.
Pelatih yang melarikan diri telah dikenal pasti sebagai Mohd Faiz Aizat Zulkifli, 23, Muhammad Shafiq Ikmal Abdullah, 22, Muhammad Hazuraidi Hashim, 24,Mohd Arif Asyraf Sudin,24, Ahmad Asmani Rosdi,21, Muhamad Shafiq Adha Ali, 23, Mohamad Sharizal Norizan, 25 dan Muhammad Shahrul Nizam Pauzi, 21.
Selain itu, Muhammad Zaharul Haffiz Mohd Harun, 24, Mohamad Aliff Norazlie, 23, Muhammad Ridzuan Abdullah, 23, Muhammad Amirul Shazwan Mohd Zain, 19 dan Muhammad Fathi Syahmi Zakaria, 20.
Ops Kesan telah digerakkan dengan melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk polis, pihak Puspen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengikut beberapa kawasan pencarian yang ditetapkan sekitar daerah itu.
Sumber : Sinar Harian