Siakap Keli
Gambar: engadget.com

Tentera Laut India Larang Anggota Guna Facebook, Telefon Pintar Atas Alasan Keselamatan

NEW DELHI, 30 Dis (Bernama) — Tentera Laut India telah melarang anggotanya daripada menggunakan Facebook kerana menganggap laman sesawang rangkaian sosial itu merupakan satu risiko dari segi keselamatan.

Tentera Laut India turut melarang penggunaan telefon pintar di semua pangkalan, limbungan dan kapal perangnya, lapor media India.

“Mulai saat ini, semua platform rangkaian sosial termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp dan penghantar pesanan lain tidak akan dibenarkan di pangkalan serta kapal tentera laut,” menurut laporan yang memetik kenyataan seorang pegawai tentera laut yang enggan dinamakan.

Langkah itu dilaporkan bertujuan menghalang kebocoran maklumat ketenteraan yang sensitif susulan penggunaan meluas telefon pintar dan laman media sosial.

Tujuh kelasi telah ditahan di tiga lokasi baru-baru ini berhubung dakwaan melakukan pengkhianatan.

Media tempatan melaporkan bahawa rangkaian pengintipan itu menyasarkan pangkalan tentera Visakhapatnam di negeri Andhra Pradesh, yang merupakan ibu pejabat Pusat Perintah Timur Tentera Laut.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa